Komunis: ‘Play victim’ Rayer dibidas Marzuk dengan fakta


KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang cuba dijadikan medan untuk membuat kecaman secara sindiran oleh wakil penyokong kerajaan kepada pihak pembangkang akhirnya terbidas kepada barisan sendiri.
Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji atau RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam perbahasan beliau membuat pertanyaan yang menyentuh kemungkinan tergugatnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Hal itu dikatakan beliau akibat keceluparan seorang Ahli Parlimen yang mengaitkan Lee Kuan Yew dengan Komunis, sedangkan Perdana Menteri baharu sahaja menandatangani memorandum persefahaman berkaitan dengan negara jiran tersebut.

“Singapura bakal mendorong pertumbuhan PMKS, ini adalah berita baik sesuatu yang patut kita puji. Kita lihat rata-rata banyak produk daripada Malaysia akan diimport ke Singapura.

“Dan perniagaan dua hala ini akan bertambah baik. Dilaporkan, Malaysia telah mengenal pasti lapan sektor yang akan diberi keutamaan untuk aktiviti padanan perniagaan bersama Singapura.

“Termasuk pertanian pintar, elektrik, elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, industri halal, minyak dan gas pelancongan dan biomas,” ujarnya membahas Usul Perbekalan 2024 Peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Koperasi di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) sehubungan itu bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat Perkara 36 di mana seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.

“Saya mohon kepada Jelutong untuk menarik balik perkara tersebut. Saya telah memberi keterangan dan belum ada beberapa lagi keputusan. Jadi saya mohon untuk kepada Jelutong menarik balik perkara tersebut,” gesanya.

Timbalan Pengerusi, Alice Lau Kiong Yieng yang dilihat memihak, telah menyebabkan Rayer terus berhujah secara menyindir dan mengecam serta menyatakan akibat yang mungkin menimpa para usahawan Malaysia.

Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang menerima giliran perbahasan selepas itu pula bangkit dengan menggunakan nada sama sebagaimana dimainkan oleh Rayer.

“Apa pandangan kerajaan dengan labeling-labeling daripada pemimpin tertentu yang mengatakan bahawa kalau PAS perintah Kelantan dan PAS menang pilihan raya negara jadi macam Taliban. Adakah ini juga boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam perkara ini?

“Dan apa juga pandangan kerajaan terhadap setengah pemimpin yang pada 1 Disember 2019 hadir satu perhimpunan Parti Komunis Malaya di Selangor. Apakah ini juga menjejaskan pandangan pelabur-pelabur luar terhadap keamanan negara kita?

“Kalau nak dihidupkan semula Parti Komunis Malaya sehingga ada salah seorang daripada pemimpin DAP, Ronnie Liew hadir dan menyampaikan ucapan dalam program tersebut. Ini juga mungkin boleh menjejaskan pandangan dan persepsi pelabur-pelabur.

“(Iaitu) terhadap keamanan yang ada dalam negara kita kerana tanpa segan dan tak pernah minta maaf, dia hadir dan menyampaikan ucapan dalam program himpunan bekas-bekas ahli Parti Komunis Malaya.

“Dan ada juga di kalangan pemimpin dalam negara ini yang berkahwin sejenis, yang berlaku di Pulau Pinang. Juga bekas pemimpin, bekas wakil rakyat kepada sebuah parti. Dan ini juga telah mencemarkan imej negara kita.

“Sebagai sebuah negara yang Agama Islam bagaimana perkahwinan sejenis boleh berlaku yang sungguh mengaibkan sedih dan dukacita kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya yang menempelak ‘play victim’ Rayer. – HARAKAHDAILY 15/11/2023

Ulasan