‘Laknat 80 tahun’ menghantui negara haram Israel



BEKAS Perdana Menteri negara haram Israel Ehud Barak dalam artikelnya yang disiarkan oleh akhbar Yedioth Ahronoth pada tahun 2022 menyatakan kebimbangannya bahawa negara haram Israel akan berkubur sebelum ulang tahun ke-80 sejak penubuhannya pada tahun 1948.

Beliau menyandarkan kenyataannya dengan merujuk kepada kitab Taurat dan Talmud yang menyebut bahawa kerajaan Yahudi di sepanjang sejarahnya tidak pernah menjangkau usia 80 tahun.

Tambahnya lagi, negara haram Israel yang wujud pada hari ini adalah negara ketiga yang pernah ditubuhkan oleh bangsa Yahudi selepas kerajaan Nabi Daud dan Asymuniyyun yang tidak mampu bertahan mahupun melepasi ‘hayatnya’ lebih daripada 80 tahun.

Benjamin Netanyahu juga pernah mengeluarkan kenyataan sama beberapa tahun lalu dengan menegaskan beliau akan memastikan negara haram Israel mampu bertahan sehingga 100 tahun. Kenyataan ini seolah-olah ingin memberi keyakinan terhadap masyarakat Zionis supaya membuang mitos yang menjadi igauan buruk mereka selama ini.

Persoalannya, kenapa Zionis Yahudi tetap ingin menjayakan impian mereka dengan menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948 di atas bumi Palestin yang dirampas sedangkan mereka mengetahui negara tersebut tidak akan kekal lama.

Jawapannya kembali kepada pegangan bangsa Yahudi yang beriman akan kemunculan ‘The Messiah’ di akhir zaman yang akan memimpin bangsa Yahudi menguasai dunia. Terdapat perbezaan pandangan di kalangan orang Yahudi yang bolehlah digolongkan kepada dua pandangan majoriti iaitu:

1. Golongan yang percaya bangsa Yahudi mestilah kembali ke bumi Palestin dan menubuhkan negara untuk bangsa Yahudi sebagai persediaan menunggu kedatangan ‘The Messiah’ dan golongan ini ialah Zionis.

2. Golongan yang mengharamkan bangsa Yahudi pulang ke Palestin melainkan setelah munculnya ‘The Messiah’, barulah orang Yahudi boleh kembali ke bumi Palestin. Golongan ini ialah Neturei Karta dan kumpulan Yahudi yang sependapat dengannya.

Di sisi umat Islam, ‘The Messiah’ yang dimaksudkan oleh golongan Zionis itu ialah al-Dajjal yang akan muncul di akhir zaman membawa kerosakan di atas muka bumi sehingga akhirnya akan dibunuh oleh ‘The Messiah’ yang sebenar iaitu Nabi Isa ibn Maryam yang akan diturunkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan misi tersebut.

Fakta di atas menunjukkan bahawa sebenanrya saat ini Zionis Yahudi berada dalam ketakutan akibat perbuatan mereka sendiri yang suka melakukan kerosakan di atas muka bumi sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Isra Ayat 4-8 yang bermaksud: “Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.”

Manakala sisi pandang Islam pula antara pandangan masyhur yang membuat andaian kehancuran negara haram Israel ialah pandangan Al-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, pengasas HAMAS yang dibunuh oleh Zionis Israel pada 22 Mac 2004 ketika keluar dari sebuah masjid selepas menunaikan solat Subuh.

Dalam wawancara dengan Al-Jazeera pada tahun 1999, Al-Syahid Syeikh Ahmad Yasin menyebut bahawa negara haram Israel akan berakhir pada tahun 2027. Beliau menyandarkan pandangannya dengan memetik firman Allah ayat 26, surah Al-Maidah yang bermaksud: “Allah SWT berfirman ( jika demikian ) maka sesungguhnya ( negeri ) itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun”.

Mengikut Al-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, walaupun ayat di atas menceritakan tentang kaum Yahudi namun pengajarannya juga kepada umat Islam, bahawa Allah akan merubah keadaan satu-satu kaum dalam tempoh setiap 40 tahun. Ayat di atas jika difahami dengan melihat keadaan umat Islam setelah tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948, ianya akan terbahagi kepada tiga generasi;

1. Generasi mundur dan kalah iaitu bermula daripada tahun 1948 sehingga 1988. Mereka terdiri dari kalangan kerajaan dan kumpulan yang memperjuangkan kebangsaan Arab yang terus dihina oleh Zionis bahkan sanggup menjadi alat demi kelangsungan negara haram Israel.

2. Generasi kemenangan yang dibina selepas intifadhah tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan HAMAS, Jihad Islami dan lain-lain lagi yang terus berkembang dan mara walaupun ditekan dengan pelbagai tekanan. Mengikut beliau, generasi inilah yang akan menumbangkan Zionis Israel dan memimpin kemenangan kepada umat Islam.

3. Generasi yang akan mengisi kemenangan.

Jurucakap Briged Al-Qassam; Abu Ubaidah dalam satu ucapannya menegaskan bahawa zaman kehebatan tentera Zionis Israel sudah berakhir dan zaman kehancuran Israel sedang bermula kerana peperangan kali ini adalah pemutus.

Sama ada kehancurannya terikat dengan 80 tahun atau tidak, bukan menjadi perbahasan utama. Apa yang pasti negara haram Israel tetap akan hancur kerana negara yang dibina atas kezaliman dan penipuan tidak akan kekal.

Bunga-bunga kehancuran itu diperlihatkan oleh Allah SWT satu-persatu bermula dengan kemusnahan dalaman akibat perbalahan sesama mereka sendiri yang makin memuncak khususnya sebelum serangan pada 7 Oktober yang lalu iaitu operasi Taufan Al-Aqsa.

Sebelum berlakunya operasi Taufan Al-Aqsa, perpecahan dalaman khususnya kalangan ahli politk Zionis Israel mahupun pendatang haram Yahudi menjadi begitu kritikal berikutan cubaan pentadbiran Benjamin Netanyahu menguatkuasakan rang undang-undang yang ingin menghadkan kuasa Mahkamah Agung melalui reformasi badan kehakiman.

Ia mendapat bantahan keras ahli politik Zionis Yahudi seteru Benjamin Netahyahu termasuk majoriti pendatang haram Yahudi sehingga berlakunya demonstrasi ganas selama berminggu-minggu yang berlaku di hampir keseluruhan bandar-bandar utama di negara haram Israel. Demonstrasi yang bertukar ganas hingga berlakunya pertempuran antara pendatang haram Yahudi dan pihak berkuasa hampir menyebabkan lumpuhnya pentadbiran negara haram Israel.

Kritikalnya perpecahan ini mendapat perhatian serius sekutu kuatnya seperti Amerika Syarikat dan Britain yang kemudiannya cuba campurtangan untuk meredakan perseteruan yang berlaku namun tidak begitu dialu-alukan malah dikecam dan diugut oleh golongan kanan ektrimis Zionis Yahudi yang berada dalam pentadbiran Benjamin Netanyahu agar pihak luar tidak campurtangan dalam urusan dalaman negara haram Israel.

Nampaknya Barat sudah mula mencium kehancuran negara haram Israel. Sejurus serangan pada 7 Oktober lalu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dengan segera menghantar bala tentera Amerika Syarikat ke Laut Mediterranean dengan pelbagai ketumbukan tentera bagi memberi jaminan keselamatannya.

Huru-haranya keadaan dalaman negara haram Israel sehingga hampir berjaya merebahkan ego dan kekuatannya di mata dunia. Justeru Amerika Syarikat dan Barat kini berhempas pulas sedang cuba mempertahankannya agar tidak tersungkur.

Kini peperangan di Semenanjung Gaza telah masuk hari ke 30 dan belum nampak tanda-tanda akan reda. Malah mengikut analisa ramai pakar geopolitik dunia, peperangan ini dijangka mampu merebak menjadi konflik yang lebih besar baik di peringkat serantau iaitu rantau Asia Barat dan jika ia menjadi tidak terkawal, ia bakal menjadi perang dunia ketiga.

Namun apa yang ditakuti kini oleh Zionis Yahudi; apakah benar ramalan yang disebut-sebut selama ini, iaitu tidak akan ada negara yang ditubuhkan oleh bangsa Yahudi mampu bertahan lebih daripada 80 tahun. Akibat takut akan ramalan ini maka mereka kini sedang berhempas pulas menyerang habis-habisan Semenanjung Gaza dan mengugut akan menyerang mana-mana negara yang membantu kumpulan pejuang Palestin.

Kita sebagai umat Islam wajib memberikan sokongan kepada warga Palestin yang sedang memperjuangkan pembebasan tanah air mereka daripada penjajahan Zionis Israel selama lebih kurang 75 tahun.

Selagi mana perjuangan membebaskan bumi Palestin ini belum selesai, berilah sokongan yang tidak berbelah bahagi kerana dengan bebasnya bumi Palestin ia juga bermakna akan terangkatlah hijab yang selama ini membelenggu perpaduan dan kesatuan di kalangan Dunia Islam.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 7/11/2023

Ulasan