Malaysia usaha EUDR iktiraf MSPO minyak sawit

 



Foto fail NSTP


KUALA LUMPUR: Malaysia akan meluaskan eksport minyak sawit ke pasaran di luar Eropah termasuk negara Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia susulan wujudnya diskriminasi terhadap minyak sawit tempatan yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

"Di Asia Barat kita cuba bawa ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir yang mana kita laksanakan melalui konvensyen dan pelbagai program membabitkan pakar luar negara.

"Ia adalah bagi membantu penulisan berhubung kebaikan minyak sawit kita... usaha itu akan diteruskan walaupun berlaku penurunan eksport minyak sawit tahun ini dan keseluruhan komoditi disebabkan kedudukan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Dewan Rakyat, malam ini.

Pada masa sama, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata Malaysia bersama negara pengeluar minyak sawit lain antaranya Indonesia memperjuangkan perkara itu di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebelum ini.

Susulan itu, suatu jawatankuasa petugas khas dipersetujui dan ia akan bermesyuarat bulan depan bagi meminta Peraturan Produk Bebas Penebangan hutan Kesatuan Eropah (EUDR) supaya mengiktiraf piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

"Jika MSPO kita diiktiraf, ia sudah memadai, sekali gus tidak memerlukan produk minyak sawit tempatan yang dikeluarkan diaudit mereka," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, eksport buluh bagi Januari hingga Ogos 2023 adalah RM13.44 juta iaitu peningkatan 49.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu hanya RM8.99 juta.

Katanya, import buluh Januari hingga Ogos adalah RM66.76 juta berbanding tempoh sama tahun lalu berjumlah RM94.14 juta.

"Terdapat 100 pengusaha pada 2023, membabitkan industri papan buluh, perabot, tekstil dan lain-lain.

"Insentif untuk buluh antaranya membabitkan pinjaman sebanyak RM10,000 per hektar dan program komuniti, di mana kita akan sediakan bantuan baja dan anak pokok buloh serta latihan," katanya.

Fadillah berkata, buluh adalah kategori yang diberi perhatian sekarang termasuk dalam program penanaman hutan.

"Berapa tempat sudah melakukan secara besar-besaran termasuk di Sarawak," katanya.

Ulasan