Mangsa banjir Terengganu meningkat 1,070 orang


KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin memburuk dengan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat mendadak kepada 1,070 orang daripada 321 keluarga.

Peningkatan itu berikutan pembukaan empat lagi PPS baharu menjadikan keseluruhannya kini sebanyak 11 buah melibatkan tiga daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus menunjukkan peningkatan mangsa kepada 564 orang daripada 166 keluarga.

“Mereka kini berlindung di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) MTeluk Ketapang, SK Bukit Nenas, SK Bukit Tunggal, Dewan Serbaguna Wakaf Catur dan Balai Raya Banggol Tok Jiring.

“Seramai 496 mangsa daripada 152 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kuala Terengganu iaitu SK Chendering, SK Atas Tol dan SK Pasir Panjang,” katanya di sini hari ini.

Sekretariat JPBN Terengganu berkata, satu-satunya PPS yang beroperasi di Setiu ketika ini ialah di Balai Raya Kampung Bintang dengan 10 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di dalamnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memberitahu stesen bacaan di parit utama Padang Kemunting, Kuala Nerus masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu setinggi 3.85 meter.

Selain itu, stesen bacaan di Sungai Chalok di Jambatan Chalok dekat Setiu pula masih menunjukkan bacaan melebihi paras amaran dengan bacaan setinggi 7.95 meter. – KOSMO! ONLINE

Ulasan