MB Selangor, Negeri Sembilan juga ahli parlimen


KEMAMAN: Tiada keperluan untuk Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai Menteri Besar (MB) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ada beberapa menteri besar, ketua menteri jadi ahli parlimen, (contoh) Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Saya pun pernah menjadi Menteri Besar, jadi ketua pembangkang itu biasa tidak salah bagi politik Malaysia, ini sistem demokrasi,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon di di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar calon PAS Kemaman meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi PRK kali ini, PAS bukan sahaja menghadapi jentera daripada BN dan PH bahkan kerajaan pusat yang akan dimanfaatkan mereka.

“Kita bukan sahaja menghadapi jentera BN yang bergabung dengan PH, kita juga menghadapi jentera kerajaan pusat yang akan digunakan seperti pilihan raya kecil yang diadakan di tempat lain.

“Akan berlaku double standard di mana politik wang akan berlaku kepada mereka, kita tidak boleh, itu berlaku, kita percaya,” katanya.

Katanya juga di Kemaman dua menteri besar pernah mentadbir kawasan itu, namun masih ada isu yang tidak dapat diselesaikan.

“Almarhum Dato’ Seri Wan Mokhtar dan Dato’ Mohd Said (pernah jadi Adun di sini), masih ada isu menandakan bahawa mereka tidak boleh menyelesaikan masalah, jadi rakyat memberi sokongan kepada kita pada pilihan raya lalu.

“Kita menjalankan peranan sebaik sahaja mengambil alih kerajaan negeri. Ini pilihan rakyat, bukan sahaja kerana pilihan raya, tanggungjawab kerajaan negeri ditunaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

Ulasan