BERBAKI tiga hari lagi rakyat Kemaman akan memilih Ahli Parlimen yang baru, namun seolah menghantar referendum penolakan kepada Kerajaan PH-BN yang dipimpin Anwar Ibrahim sejak 25 November 2022. Sejujurnya tanpa berbasa basi jika disukat dengan aura himpunan politik sejak hari pertama kempen, 18 Oktober lalu maka momentumnya jelas terpancar, PH-BN akan tewas tertampar malu dalam pilihan raya ini. Disukat, dianalisa semua penjuru lahan Kemaman tiada lagi kubu kuat BN kecuali Kampung Orang Asal Pergam!
Kemaman adalah kubu BN asalnya, keterbalikan daripada daerah Besut yang bermula dengan kawasan paling kuat PAS dalam dekad 50-an. Tiada yang pelik malah munasabah jika daerah istimewa ini menjadi lubuk Umno BN kerana dua orang Menteri Besar berasal dan bergiat di Kemaman. TS Wan Mokhtar Wan Ahmad lama mentadbir negeri penyu bertelur, di zamannya persaingan PAS BN sangat sengit. Limpahan projek pembangunan dibawa ke Kemaman, dengan kewujudan Rantau PETRONAS di Kerteh dan limpahan nikmat rezeki minyak dan gas. Terkenal sejak dekad 1980-an harga makanan yang mahal sejajar dengan pembangunan yang pesat.
DS Mat Said dengan karakter khasnya juga mengheret pelbagai projek ke Kemaman terutama di DUN Kijal. BN menjadikan Kemaman sebagai kubu mereka, juga dengan kawasan FELDA yang pekat likat birunya. Kemaman pernah digegerkan dengan isu perobohan Masjid Bujal yang memancing kemarahan umat Islam. PAS membina pengaruhnya secara bertahap di kawasan minyak dan gas ini. Kegiatan jihad pendidikan digerakkan oleh para asatizah, juga penubuhan institusi pendidikan Islam digerakkan untuk mendobrak kejahilan masyarakat.
Pelbagai isu melanda Kemaman sebelum PAS bertapak dengan subur, banjir besar di Kemaman pada tahun 2013 turut mempopularkan PAS sebagai gerakan massa bertunjangkan kebajikan dan kemasyarakatan. Ribuan aktivis PAS dan NGO Islam berkampung di Kemaman dan mula melonjakkan nama-nama tokoh tempatan PAS seperti Haji Hanapiah Mat, Abang Weil dan lain- lain tokoh. Pintu rumah rakyat diketuk mesra, bantuan tiba tanpa kenal bendera dan latar belakang sosial. Anggota Amal dan NGO kolaborasi PAS tersenyum mesra menyantuni rakyat, segalanya menanam ingatan kepada rakyat ada sebuah parti politik yang lumayan dengan ihsan dan jiwa berbakti.
9 Mei 2018 menyaksikan tiga DUN dalam Kemaman ditawan PAS, juga Ustaz Alias Abdul Hamid menang bergaya di kerusi Parlimen. Jentera PAS tersenyum mesra menyantuni rakyat tanpa ampun, menebarkan kepedulian sosial, Kemaman subur majlis ilmu dan pemimpin PAS tidak membina jarak dengan rakyat. Mat Said mengekalkan kemenangannya di DUN Kijal, namun kelihatan malu-malu alah dalam sidang DUN apabila berbahas. Di sinilah kebijakan politik Dr Samsuri (Dr Sam), tak mudah menabur peluru dan mengaibkan musuh politik. Projek-projek sakit zaman Mat Said tak diungkit namun mencari solusi terbaik sebagai pemerintah negeri.
Euforia gembira menerawang di angkasa sejak seminggu terakhir ini, anak-anak muda generasi milenial, juga otai-otai PAS Kemaman tanpa sekupang upah tanda jasa bertungkus lumus siang malam memeriahkan pesta demokrasi. Nasi dagang, satar, keropok lekor, mee bodo antara menu petugas yang dimasak muslimah. Solat hajat dan munajat bergilir digalang oleh amilin, ramai pimpinan dan penceramah turun menerangkan isu kepada pengundi.
Belum puas agaknya mereka meraikan kemenangan besar PN dalam PRUN 15 pada 12 Ogos yang lepas, perarakan motor, flash mob , serangan maya melalui aplikasi Tik Tok sangat menguja akal. Penyokong-penyokong BN di kampung kelihatan masih keliru dengan perkahwinan paksa PH-BN, khabarnya ramai penyokong BN akan memilih calon PAS kerana mereka ‘kenal barey’.
Ceramah-ceramah BN-PH di Kemaman menjadi suram dan serba tak menjadi kali ini. Tiada lagi kosa kata penyamun, penyangak, perompak oleh Mohd Sabu dan lain-lain pemimpin vokal PH. Seperti kata mantan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa PKR kini menyalin perangai BN yang dahulunya sangat mereka benci dan dijadikan modal politik. Zaman madani yang keliru ini, segala bentuk kempen kotor pilihan raya berulang lagi. Penjamuan atas nama entiti kerajaan, intimidasi kepada pengundi, penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen, curahan peruntukan kerajaan dan taktik usang BN dekad 80-an dikitar kembali.
Pemimpin BN-PH wajar bercermin diri apatah lagi ucapan-ucapan lampau mereka terekod kemas di alam siber, lagu dan ucapan yang menghina antara satu sama lain. Janji-janji Manifesto 15 mereka ‘ke laut dalam’. Prestasi semasa memerintah 22 bulan juga dilihat sangat gagal, prestasi kerajaan madani jauh daripada piawai, jauh daripada dilunaskan janji bulan bintang sebelum diberi kuasa.
Apa prestasi Kerajaan Malaysia kini? Malah hutang negara yang semakin menumpuk, jurang antara kaum semakin melebar, FDI yang semakin merosot mengheret kepada isu-isu hiliran yang lain seperti pengangguran, semakin membesar kelompok B40, nilai Ringgit yang menjunam serta imej kekelamkabutan pentadbiran kerajaan yang jauh daripada utopia pemerintahan ‘tata kelola kerajaan yang baik’. Maksiat mungkar makin menggebu, euforia kekunyitan makin memualkan. Ingat orang Kemaman gembira dengan prestasi ini?. ‘Balik awal boh!’ Kata Pak Mat Teluk Mok Nik sambil menyeruput teh tarik yang semakin naik harga zaman madani.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 29/11/2023
Ulasan
Catat Ulasan