Peluang bawa isu negeri ke Dewan Rakyat – Dr Samsuri


KEMAMAN: “Tidak menjadi kesalahan dalam undang-undang di negara kita menteri besar juga memegang jawatan sebagai ahli parlimen,” kata Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, dalam keadaan tertentu banyak isu-isu negeri boleh dibawa secara terus ke peringkat pusat di Dewan Rakyat.

“Saya rasa itu perlu diuruskan sahaja,” katanya kepada pemberita di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Ru Rendang akan mengengahkan isu tempatan dan nasional di Kemaman.

Dr Ahmad Samsuri bakal dicabar calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis mengisytiharkan Che Alias dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya Kemaman pada 19 November 2022.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu melibatkan seramai 141,790 pemilih. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

Ulasan