Penubuhan jawatankuasa khas jadi persoalan


KUALA LUMPUR: Kerajaan terus didesak memberi penjelasan berhubung ahli jawatankuasa khas yang dilantik bagi mengkaji mengenai kesesuaian Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Dato’ Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kerajaan sudah menunaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata, Baginda menyarankan supaya pakar perlembagaan, pakar undang-undang sivil dan syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang berpengalaman dilantik dalam jawatankuasa tersebut.

“Baginda mencadangkan jawatankuasa khas ditubuhkan 28 Ogos 2023, yang mana jawatankuasa ini haruslah menurut titah Sultan Selangor dianggotai pakar-pakar perlembagaan, pengamal undang-undang dan sebagainya.

“Jadi soalan saya, bila tarikh jawatankuasa khas ini ditubuhkan dan kalau ditubuhkan siapa pengerusinya dan siapa ahli-ahlinya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Setiausaha Agung PAS Pusat itu turut mengemukakan keratan akhbar oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji mengenai kompetensi tersebut.

Laporan yang bertarikh 17 November lalu itu, katanya menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba menjejaskan kedudukan agama Islam melalui proses litigasi mahkamah.

Sementara itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya menjelaskan kerajaan sentiasa bersama Sultan Selangor dalam membuat keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa itu.

“Bila diputuskan kena Majlis Raja-raja Melayu yang bersidang dua minggu yang lalu untuk meluluskan, jadi kita cadangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi pengesahan.

“Kemudian jawatankuasa diubuhkan dan terpaksa ada pekeliling mengesahkan nama-nama dalam jawatankuasa ini, sudah tentu dia ambil masa mungkin, saya tidak tahu Mais dimaklumkan atau tidak,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

Ulasan