Perlis Geopark tarikan baharu pelancong ke Perlis




KANGAR: Jawatankuasa Geopark Kebangsaan mengiktiraf Perlis sebagai negeri Geopark Kebangsaan dengan gelaran Perlis Geopark.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata Perlis memperolehi markah antara yang tertinggi dengan penilaian sebanyak 92.96 peratus.

Katanya pengiktirafan dianggap sebagai luar biasa bagi sebuah negeri terkecil di negara ini.

“Pengiktirafan ini pencapaian cukup menakjubkan dan kita akan berusaha untuk mempertahankan pengiktirafan ini pada penilaian seterusnya dijangka diadakan pada 2027.

“Kita harap dapat meningkatkan lagi pencapaian menjadi 93 peratus pada penilaian akan datang. Kita sudah ada pelan untuk memastikan Perlis Geopark dikenali di seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di Kuala Perlis dekat sini, petang semalam.

Penilaian Jawatankuasa Geopark Kebangsaan diadakan di beberapa geotapak, biotapak dan budaya di Perlis pada 7 hingga 11 September lepas.

Dalam pada itu, Pengurus Perlis Geopark, Dr Puteh Soraya A Rahman berkata, penarafan Perlis Geopark akan menjadi batu loncatan kepada industri pelancongan negeri.

Katanya pelancong mempunyai satu lagi pilihan produk pelancongan ‘geotrail’ dan boleh dipandu geoguide berdaftar bagi mengenali geologi dan biodiverstiti terdapat di negeri itu.

“Semoga rakyat Perlis mendapat manfaat penjenamaan Perlis Geopark terutamanya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Gunalah logo Perlis Geopark dan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di mana sahaja sebagai satu tanda sokongan kepada usaha kita bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

Ulasan