Pinda perlembagaan elak Kanun Jenayah Syariah dicabar


KOTA BHARU: “Seandainya kita tidak menang di Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin mencabar Kanun Jenayah Syariah (KJS) Kelantan, namun masih boleh diselesaikan dengan cara lain.

“Itulah sekiranya para pemimpin politik di parlimen tahu kerja mereka iaitu buat pindaan perlembagaan persekutuan.

“Jika berlaku undang-undang jenayah sivil maka Dun tidak boleh gubal, tidak payahlah klausa tersebut buang sahajalah.. perlembagaan boleh dipinda melalui sokongan majoriti dua pertiga.

“Kita sudah lupa kah pada tahun 2018 dan 2019 pindaan perlembagaan dibuat bagi melaksanakan Undi18,” kata penguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla pada ceramah khas, Cabaran Perundangan Syariah sempena sambutan Hari Hududullah ke-18 Peringkat Negeri di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, semalam.

Sebelum ini Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar 20 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan.

Kes tersebut di peringkat Mahkamah Persekutuan dan akan diputuskan pada 20 November ini.

Mohamed Haniff berkata, kes itu bergantung kepada kehendak ahli-ahli Parlimen bagi melaksanakan tanggungjawab mengubal dan meminda perlembagaan.

Menurutnya juga kes Iki Putra Mubarak di Selangor menjadi pengajaran kepada pengamal undang-undang untuk membuat persediaan termasuk pindaan tertentu yang dipanggil klausa pengecualian jika kes seumpama itu berlaku.

“Walaupun negeri turut mempunyai kuasa besar dalam bidang keagamaan namun kerajaan Persekutuan juga melaksanakan tanggungjawab itu untuk memartabatkan dan mengimarahkan agama Islam.

“Namun wujud percanggahan dalam isu tersebut antara kerajaan negeri dan persekutuan, banyak kes-kes yang dilaporkan di media biar pun pihak legislatif sudah mengeluarkan keputusan mahkamah,” ujarnya.

Menurutnya banyak negeri melaksanakan enakmen tersebut, sebaliknya inisiatif terbabit tidak disambut pemimpin negara bagi menyelaraskan perkara dalam perlembagaan.

“Malangnya kita sudah berusaha dan mahkamah telah membuat keputusan, tetapi pemimpin kita masih tidak faham, tidak menggunakan ayat penting dalam penghakiman untuk membantu memartabatkan agama Islam.

“Agama Islam di bawah negeri jadi kerajaan pusat tidak masuk campur sebab bidang kuasa negeri-negeri tetapi ia tidak bermaksud persekutuan tiada tanggungjawab itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

Ulasan