Pindah umat Islam Gaza: Perangkap baru Zionis


PINDAHKAN ke semua 2.3 juta rakyat Gaza dari Gaza dan letakkan mereka di Semenanjung Sinai.

Semenanjung Sinai seterusnya akan dibangunkan dengan kemudahan asas dan bandar bagi menampung populasi baharu berpindah.

Langkah ini penting demi kemaslahatan nyawa rakyat Gaza yang menjadi ‘collateral damage’ dalam pertempuran antara HAMAS dan Israel.

Itulah naratif terbaru yang didedahkan sendiri oleh Kementerian Risikan Israel menerusi pelan perpindahan Gaza.

Bunyinya begitu baik dan bersih. Hakikatnya, penuh kekotoran dan kejahatan.

Pelan ‘terbaru’ ini mula dikemukakan tidak lama selepas HAMAS melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa sebagai tindak balas terkini terhadap penjajahan Zionis Israel sejak 75 tahun yang lepas. Meskipun sebenarnya ura-ura pengusiran rakyat Palestin ke Semenanjung Sinai telah bermain sejak tahun 1950-an lagi.

Sebelum rancangan ini terdedah secara ‘rasmi’ lagi, beberapa ahli politik Israel telah pun memberikan pembayang akan perancangan terbaharu Zionis ini.

Antaranya pengakuan oleh diplomat senior Israel Danny Ayalon menerusi sebuah temubual bersama Middle East Monitor apabila Danny Ayalon telah mencadangkan perpindahan rakyat Gaza ke Sinai bagi usaha ‘menyelamatkan’ rakyat Gaza dari peperangan.

Danny dengan bangganya menyatakan ini bukanlah kali pertama komuniti antarabangsa melaksanakan pelan seperti ini kerana ia pernah ke atas rakyat Syria yang ditempatkan semula di Turki sewaktu perang saudara 2011.

Beberapa hari selepas itu, media-media mula melaporkan secara meluas berkenaan perancangan strategik ini.

Dikhabarkan Mesir telah ditawarkan berkenaan cadangan ini namun Mesir juga menolak kerana risaukan keselamatan dalam negeri mereka. Selain Mesir, negara seperti Turkiye dan UAE juga dikhabarkan mendapat tawaran untuk mengambil pelarian Gaza sebagai penduduk tetap.

Bahkan usaha melobi dan meyakinkan negara Timur Tengah untuk mempersetujui rancangan ini telah mula digerakkan oleh sekutu Israel iaitu negara-negara Eropah seperti Czech Republic.

Jika kalian yang membaca merasakan perancangan ini masuk akal dan sesuai dilaksanakan. Maka yakinlah bahawa propaganda Zionis telah berjaya meracuni fikiran anda.

Ada beberapa sebab mengapa perancangan ini adalah satu bentuk tipu helah terbaru Zionis sahaja.

Pertama, perancangan ini secara jelas adalah satu bentuk pengusiran besar-besaran terhadap rakyat Palestin yang sekian lama bertahan mempertahankan tanah air.

Menghalau mereka secara sekali gus adalah apa yang Israel inginkan selama ini. Wilayah Gaza akhirnya dapat dikosongkan seterusnya membolehkan pendatang haram Zionis membuka penempatan haram baharu pula di sana. Apakah ini satu tindakan bijak jika negara Islam menerima pelan ini?

Kedua, Zionis menyatakan bahawa cadangan ini merupakan satu penempatan semula secara sementara sahaja. Iaitu sementara peperangan sedang berlaku bagi mengelakkan lebih ramai nyawa orang awam terkorban.

Ya, sudah tentu inilah yang Zionis percaya bukan? Kerana nyawa orang begitu ‘berharga’ di mata Zionis.

Ini adalah satu lagi bentuk argumen yang meloyakan. Janji yang paling tidak boleh dipercayai adalah janji Yahudi Zionis. Beratus resolusi dan Undang-undang Antarabangsa boleh dilanggar begitu sahaja. Berpuluh gencatan senjata diperleceh.

Apakah janji kononnya ini adalah langkah sementara boleh dipercayai umat Islam? Sudah tentu tidak. Kemungkinan yang akan terjadi adalah, Sinai akan menjadi tempat kekal buat pelarian terbaru Gaza.

Sepertimana nasib jutaan diaspora Palestin yang tersebar akibat Nakbah dan Naksah. Mereka tidak lagi dibenarkan kembali ke tanah air asal mereka.

Ketiga, cadangan ini kononnya demi menjaga nyawa orang awam Palestin yang berterusan menjadi mangsa atau ‘collateral damage’ ekoran pertempuran HAMAS-Israel. Maka mereka terpaksa dibawa keluar dahulu demi menjaga nyawa mereka yang ‘berharga’.

Jika benar ia adalah satu bentuk langkah sementara kononnya demi menyelamatkan nyawa. Maka apa yang Zionis patut buat adalah hentikan bedilan roket ke Gaza.

Negara Islam pula perlu giat melobi dan menggerakkan langkah di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ini.

Bukannya dengan beralih kepada cadangan bacul yang tidak menyelesaikan punca masalah.

Keempat, cadangan ini tidak menyelesaikan akar permasalahan iaitu penjajahan Zionis Israel sejak 75 tahun yang lepas. Bahkan, bersetuju dengan rancangan ini adalah satu bentuk isyarat pengakuan mengalah terhadap penjajahan Zionis.

Warga Palestin mempunyai maruah dan jati diri mereka. Jika hanya nyawa menjadi keutamaan. Sudah lama Gaza dan Tebing Barat menjadi kosong. HAMAS dan Jihad Islami tidak akan mendapat tempat di hati rakyat jika nyawa menjadi objektif perjuangan.

Objektif perjuangan mereka adalah membebaskan tanah air mereka yang terletaknya di sana tanah suci ketiga umat Islam daripada pendudukan bangsa yang paling rasis dan keji di atas muka bumi ini.

Bahkan seteruk-teruk pihak Fatah dan Palestin Authority yang selama ini dikaitkan dengan sikap lemah dan korup juga menolak perancangan perpindahan ini kerana terzahir jelas niat jahat di sebalik pelan ini.

Perkembangan di negara kita juga menyaksikan sesuatu yang membimbangkan.

Jawapan Menteri KDN dalam Parlimen pada 24 Oktober yang lepas sebenarnya ada menyentuh isu ini.

Sewaktu sesi soal jawab berkenaan himpunan berkaitan isu Palestin, YBM Saifudin Nasution telah mengeluarkan ucapan berikut sepertimana tercatat dalam Hansard Parlimen:

“Buminya itu adalah bumi yang dijajah, itu isu pokok. Isu pokok sekarang apa? Nyawa dua juta rakyat dia terancam. Tentera Israel sudah berada di sempadan. I think- isu pokoknya itu.”

“Isu pokoknya apa? Isu pokoknya mengeluarkan rakyatnya daripada tanah Gaza sekarang ini yang sedang terkepung. Ini yang dibuat oleh Perdana Menteri, bertemu Sisi, bertemu Erdogan, bertemu Salman, menjadi koordinator bagi pihak ASEAN. Saya fikir itu.”

Maka berdasarkan ucapan YBM Saifudin Nasution timbul satu kegusaran dalam kalangan umat Islam negara kita. Apakah benar ini yang sedang diusahakan kerajaan sekarang?

Lantaran penerangan yang agak mirip dengan dengan rancangan Israel ini. Bahkan negara-negara pemain yang telah didekati Israel bagi menjayakan pelan ini seperti Mesir dan Turkiye turut disebut oleh menteri.

Jika benar ini yang sedang digerakkan. Maka ia adalah satu pengkhianatan terhadap usaha kemerdekaan rakyat Palestin daripada penjajahan Zionis.

Kerajaan wajar memberikan penerangan tuntas berkenaan pendirian Malaysia dalam isu ini.

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam – HARAKAHDAILY 9/11/2023

Ulasan