Rakyat terdedah banjir perlu daftar e-Bencana


KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang mudah terdedah dengan banjir perlu memanfaatkan aplikasi Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) yang dilancarkan 7 Februari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, penghulu, pegawai di Pusat Khidmat DUN, ketua komuniti, NGO dan sukarelawan dan individu sewajarnya mendaftar di e-Bencana.

“Kita harap ia benar-benar memberi manfaat memandangkan platform ini bukan hanya untuk isu banjir tetapi lebih luas dan bersepadu untuk pengurusan pelbagai bencana.

“Tujuan sistem e-Bencana untuk mengumpul data berkaitan dengan tepat dan berpusat akan membawa kepada tindakan dan bantuan secara tepat dan
bersepadu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan ke-11 dan Mesyuarat Agong Koperasi Amal Kelantan Bhd kali pertama di sini malam tadi.

Menurut Rohani, kaedah itu juga akan menjadi platform capaian maklumat dan aduan atau permohonan bantuan orang awam secara mudah.

Katanya, sistem itu perlu disebarkan secara meluas supaya orang ramai
mendaftar dalam sistem tersebut.

Begitu juga pendaftaran pasukan sukarelawan boleh dibuat dalam aplikasi terbabit.

“Data mengenai bahan sumbangan, kekuatan tenaga sukarelawan, maklumat NGO dan apa jua maklumat akan dianalisa dengan cepat dan tepat,” ujarnya.

Rohani juga berharap Yayasan Amal Malaysia dapat melatih lebih ramai anak muda pelbagai latar belakang untuk menjadi pekerja amal.

Katanya, Yayasan Amal Malaysia adalah satu nama yang tidak asing lagi di Malaysia, bahkan ia sinonim dengan kerja-kerja kebajikan di luar negara. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

Ulasan