Rumah Mampu Milik masih jadi dilema majoriti rakyat



KUALA LUMPUR: Kemelut dan dilema pemilikan rumah kediaman yang masih membelenggu majoriti rakyat negara ini terus mendapat perhatian serius dan pembelaan Perikatan Nasional (PN).
Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sehubungan itu menggesa kerajaan menerusi agensi di peringkat negeri dan Persekutuan segera menangani permasalahan tersebut.

Khususnya terhadap isu Rumah Mampu Milik (RMM) beliau mahu adanya kawalan terhadap kadar keuntungan diambil pemaju serta dipermudahkan urusan di bawah Akta Sewaan Kediaman sedia ada.

“Saya nak bertanya, adakah kerajaan bercadang untuk memusatkan inisiatif Rumah Mampu Milik kepada satu agensi? Dalam keadaan sekarang terdapat 20 agensi di peringkat negeri dan Persekutuan yang sedang menguruskan hal rumah mampu milik ini?

“Kedua, adakah kerajaan berhasrat untuk mengawal kadar keuntungan yang ditetapkan oleh pihak pemaju? Dan ketiga, bagaimana proses dan perkembangan Akta Sewaan Kediaman yang telah tertangguh beberapa tahun untuk dibentangkan?” soalnya.

Soalan-soalan itu dikemukakannya secara lisan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kemudiannya dijawab oleh Timbalan KPKT, akmal Nasrullah Mohd Nasir di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut Afnan, ada ketikanya kos pembinaan tinggi kerana kadar keuntungan yang pemaju kenakan itu agak tidak munasabah, contohnya termasuk aksesori-aksesori dalaman rumah, sedangkan itu tidak perlu untuk pembeli RMM.

Tambahnya, Akta sedia ada itu boleh mem bantu orang yang tidak ada rumah ini untuk duduk di rumah sewa dan dikawal dengan akta, sementara mereka dapat memiliki ada rumah yang mampu dimilik.

Akmal dalam jawapannya mengakui KPKT mempunyai agensi yang mengumpulkan semua maklumat kediaman yang sedang dibina ataupun dalam perancangan termasuk melibatkan Rumah Mampu Milik.

Beliau juga mengakui dari segi dasarnya kuasa Negeri dan Persekutuan sama banyak dalam hal tersebut, misalnya kuota dalam penetapan dan kawalan lebih kepada negeri.

“Maka sebab itu dari segi rasionalnya bagi sayalah untuk ini adalah soal dasar tapi saya nampak rasional kenapa kerajaan selama ini membenarkan setiap pihak yang ada keupayaan untuk memainkan peranan bagi menampung keperluan Rumah Mampu Milik tadi.

“Kerana kalau dilihat tadi memang ada negeri-negeri yang menawarkan program khusus untuk Rumah Mampu Milik, contohnya di Wilayah kita tahu ada RUMAWIP. Di Selangor ada Rumah Selangorku. Di Johor kita ada Rumah Mampu Milik Johor.

“Sementara negeri-negeri lain dia mungkin ada pakej yang lebih kecil dan sebagainya. Maka perkara itu ada juga yang berlaku pencapaian. Ada juga yang berlaku permasalahan yang kita perlu rungkaikan,” jawabnya.

Isu harga kos tinggi jawabnya, ia melibatkan lokaliti tanah, syarat pembekal dan berkaitan industri di mana beliau bersetuju kesan yang membebankan rakyat mesti dikurangkan. – HARAKAHDAILY 15/11/2023

Ulasan