'Saya buat macam-macam untuk orang Langkawi, tapi...' - Dr M


'Saya buat macam-macam untuk orang Langkawi, tapi...' - Dr M
Essa Abu Yamin - November 13, 2023 @ 4:19pm
Tun Dr Mahathir Mohamad dalam podcast Keluar Sekejap.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Langkawi, sedih kerana menganggap jasanya membangunkan pulau pelancongan itu seperti tidak dihargai.

"Saya buat macam-macam untuk orang Langkawi. Jadikan pulau bebas cukai, waktu pandemik, saya beri makanan. Ketika dilanda tsunami, kita tolong, bina balik rumah.

"Macam-macam kita buat untuk orang Langkawi, tetapi bila datang pilihan raya, mereka tidak undi saya," kata bekas Perdana Menteri itu dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang disiarkan hari ini.

Beliau menyifatkan kekalahannya di Langkawi ketika itu adalah disebabkan sikap rakyat yang lebih gemar menerima bantuan dalam bentuk wang ringgit.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Saya tanya, kenapa tidak undi saya? Kata mereka, kerana saya tak beri duit. Itu jawapan mereka. Saya tanya lagi berapa duit dapat? Dia jawab RM100.

"Saya tanya, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari," katanya menegaskan sikap pengundi yang sebegitu membuatkan beliau berasa kecewa sebagai seorang pemimpin.


"Orang Melayu zaman sekarang, lebih pentingkan RM100 berbanding segala khidmat yang kita pernah berikan kepada mereka," katanya.

Pada PRU15 November lalu, Dr Mahathir yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bukan sahaja hilang kerusi Parlimen Langkawi disandangnya, malah turut kehilangan wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.

Dalam saingan lima penjuru itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah menang dengan majoriti 13,518 selepas mendapat 25,463 undi.

Terdahulu pada PRU14 lima tahun lalu, Dr Mahathir yang mula bertanding pilihan raya pada 1964, merampas kerusi Langkawi daripada Barisan Nasional (BN) ketika bertanding atas tiket PKR apabila menang dengan majoriti 8,896 undi.

Ulasan