'Saya sedar DAP juga mahu gunakan saya...' - Tun M


'Saya sedar DAP juga mahu gunakan saya...' - Tun M
Essa Abu Yamin - November 13, 2023 @ 3:52pm
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau menggunakan DAP dan sedar parti itu juga mahu menggunakannya dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerjasama dengan DAP itu didorong oleh keinginan bersama untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 atas dasar 'musuh kepada musuh anda adalah rakan anda'.

"Jika saya tidak menggunakan DAP, kita tidak akan mencapai majoriti dan Najib akan terus menjadi Perdana Menteri. Antara DAP dan Najib, mana satu yang perlu kita jatuhkan?

"Sebab itu saya mahu gunakan DAP dan saya sedar DAP juga mahu menggunakan saya kerana DAP juga mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dan menjatuhkan Najib," katanya.

Beliau mendedahkan demikian dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang disiarkan hari ini.

Dr Mahathir menjawab pertanyaan Shahril mengenai pendiriannya yang dilihat tidak konsisten dalam berurusan dengan DAP dan PAS. Ketika bersama UMNO, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sering mengkritik dua parti berkenaan, tetapi pada ketika lain, dilihat boleh duduk bersama pimpinan parti terbabit.


Selepas keluar UMNO, Dr Mahathir yang pernah mengetuai kerajaan selama 22 tahun, mengasaskan BERSATU pada 2016 dan menyertai PH bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pada 9 Mei 2018, PH mencipta sejarah baharu dalam politik negara apabila berjaya menamatkan penguasaan BN selepas 60 tahun gabungan diterajui UMNO dan Najib sebagai presiden merangkap Pengerusi BN ketika itu, mentadbir negara.

Sementara itu, Dr Mahathir menyatakan kesediaannya untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pemimpin yang boleh melakukan sesuatu yang betul bagi 'memulihkan' Malaysia.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau juga berasa bertanggungjawab untuk bersuara jika berpandangan seseorang Perdana Menteri itu melakukan tindakan yang tidak baik untuk negara dan orang Melayu.

Jelasnya, beliau akan memberikan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak merujuk atau menamakan seseorang secara khusus kepada mana-mana Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri.

"Kalau saya berdiam diri, bermakna saya tidak bertanggungjawab. Perjuangan saya untuk nak tentukan bangsa saya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain, itu perjuangan saya.

"Apabila saya lihat orang ini lebih utamakan duit, lebih utamakan jawatan itu saya tak boleh sokong. Kalau nak pegang jawatan Perdana Menteri, mesti sumbang kepada kejayaan negara dan pemulihan kedudukan orang Melayu, itu perjuangan saya.

"Kalau orang buat benda yang merosakkan lagi, saya masih boleh bercakap, takkan saya nak duduk diam. Okeylah, apalah, bukan masa saya dah, kalau saya boleh bercakap, saya bercakaplah. Kalau saya dah sakit, dah tidur, tak boleh nak ni (bercakap), saya tak bercakaplah," katanya.

Dtanya mengenai masa depan Malaysia, bekas Presiden UMNO itu berpandangan sekiranya keadaan sekarang berterusan, beliau menjangkakan dalam masa 10 tahun lagi orang Melayu akan dipinggirkan dan Malaysia bukan lagi menjadi tanah Melayu.

"Macam Singapura, macam Pulau Pinang. Kita duduk di negara kita, tak boleh masuk kawasan itu, kawasan ini kerana kita sudah jadi lemah dan kita berpecah. Tiap-tiap parti kecil-kecil belaka, orang lain bersatu, tetapi kita berpecah dan masa depan Malaysia dalam 10 tahun, bukan lagi tanah Melayu," katanya.

Beliau berkata, kadang-kala berasa kecewa kerana setiap jangkaan yang dilakukannya seolah-olah menjadi realiti.

"Bila saya kata dalam masa 20 tahun UMNO akan rosak, ia berlaku. Dalam masa sekian, sekian, ia terjadi. Sekarang ini, saya nampak dalam 10 tahun, negara kita ini berubah dan bukan lagi Tanah Melayu," katanya.

Ulasan