Sejarah Mahkamah Syariah


DARI sudut sejarahnya, sistem mahkamah sudah wujud sejak zaman kesultanan Melayu di negeri-negeri Melayu.
Asas rujukan utama mahkamah di bawah naungan Sultan pada waktu itu adalah hukum-hukum syarak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang bertulis dan juga berasaskan keilmuan para hakim yang terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai ilmu Islam.

Apabila penjajah British menguasai pentadbiran negeri-negeri, mereka menubuhkan mahkamah sendiri dan melantik hakim-hakim dari kalangan hakim Inggeris.

Rujukan kepada mahkamah asal di bawah naungan Sultan, yang disebut juga sebagai Mahkamah Kadi hanya terhad kepada kes-kes kekeluargaan dan kesalahan berkaitan agama.

Pada tahun 1919, British memperkenalkan pula Enakmen Mahkamah 1919 dengan mewujudkan satu sistem mahkamah yang mengandungi Mahkamah Agung yang terdiri daripada Mahkamah Rayuan, Mahkamah Magistret Kelas Pertama dan Magistret Kelas Kedua, dan seterusnya memasukkan juga Mahkamah Kadi, Mahkamah Pembantu Kadi serta Mahkamah Penghulu dalam sistem berkenaan.

Kemudiannya pada tahun 1948, British memperkenalkan Ordinan Mahkamah 1948 yang memperbaharui hierarki mahkamah.

Namun dalam sistem yang baharu ini, Mahkamah Kadi telah dikeluarkan.

Kesan daripada pembahagian ini ialah wujudnya pengasingan antara mahkamah arus perdana di bawah Ordinan Mahkamah 1948 dan Mahkamah Kadi yang dikekalkan melalui kuasa negeri-negeri dan Enakmen Mahkamah 1919.

Mahkamah Kadi hanya terhad kepada undang-undang peribadi dan kesalahan agama yang diberikan definisi yang terhad.

Apabila merdeka, struktur pengasingan yang disebut sebagai sistem dua aliran mahkamah ini dikekalkan bagi membolehkan negeri-negeri dan sultan-sultan mengekalkan baki kuasa perundangan dan pengaruh yang ada.

Ringkasnya, sistem pemisahan Mahkamah Syariah daripada sistem mahkamah arus perdana adalah kesan akibat penjajahan British.

Sepatutnya mahkamah arus perdana sepenuhnya berasaskan Syariah, dan hak bukan-Islam untuk diadili melalui undang-undang kekeluargaan sendiri dilaksanakan melalui mahkamah khusus.

Tapi realiti hari ini terbalik apabila undang-undang terpinggir dan bukan-Islam sepenuhnya diadili melalui sistem arus perdana.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF – HARAKAHDAILY 20/11/2023


PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Ulasan