Tuduh PN terima dana judi: Hingga kini ‘masih dalam siasatan’


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah membuat dakwaan tuduhan kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi dalam PRU15 November tahun lalu.

Namun, hingga kini tiada sebarang permulaan atau sebutan kes dijalankan di mana-mana mahkamah, malah tiada penjelasan berhubung isu itu diperincikan di Parlimen khususnya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari pernah dua kali mengemukakan soalan sama berhubung status siasatan terhadap dakwaan itu, tetapi jawapan diterima masih seperti sebelumnya.

“Seperti yang dijangka, jawapannya ialah ‘masih dalam siasatan’. Ingatkan tempoh hari dan ada saksi yang tampil, sepatutnya boleh selesailah, rupa-rupanya masih belum ada perkembangan lanjut!

“Nah, sekarang siapa yang menabur fitnah? Ooo… jika yang menabur fitnah itu ialah pemimpin tuan-tuan, ia halalkah kot?” tempelaknya kesal dengan tuduhan tidak berasas itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam jawapannya memberitahu, isu tersebut masih dalam siasatan SPRM.

“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut mengikut subseksyen 29(4), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [Akta 694].

“Yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduhkan di mahkamah.

“Pada masa yang sama, selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“(Iaitu) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti. Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

Ulasan