Adakah kerajaan salur peruntukan tambahan kepada Kelantan?


KUALA LUMPUR: Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta penjelasan adakah kerajaan pusat akan menyalurkan peruntukan tambahan yang lebih banyak kepada Kelantan sebagai satu rangkuman usaha bersama membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026?

Beliau berkata, belanjawan sebanyak RM350 juta telah diperuntukkan untuk promosi pelancongan Kelantan; dan aaripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta telah diperuntukan kepada bagi tujuan memulihara dan menyelenggara lokasi-lokasi pelancongan.

“Ketika ini kerajaan negeri Kelantan sedang mempergiatkan promosi Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024) yang berkonsepkan 3F iaitu ‘family, food dan festival’,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Senator Khairul Firdaus Akbar Khan dalam jawapannya berkata, pihak Kementerian Pelancongan sentiasa mengadakan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Kelantan melalui agensi kami iaitu Tourism Malaysia dari sudut untuk merancakkan lagi sektor pelancongan.

Berkenaan dengan peruntukan yang telah dimaksudkan oleh Nik Abduh itu, ujar beliau, setiap permohonan seharusnya lebih baik jika ia dimulakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN).

“UPEN akan berhubung dengan kementerian untuk kita melihat keserasian dan keperluan bagi setiap projek yang bakal dicadangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2023

Ulasan