Banjir: Ahmad Amzad agih satu tan ikan tongkol

Banjir: Ahmad Amzad agih satu tan ikan tongkol
December 26, 2023

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menymbangkan satu tan ikan tongkol kepada penduduk di PPR Hiliran di sini oleh dalam meringankan beban rakyat dalam musim tengkujuh.

Beliau berkata sumbangan itu adalah inisiatif yang selalu dilakukan agar rakyat mendapat makanan yang cukup.

Menurutnya, sumbangan itu memberi peluang dan membantu penduduk yang sukar dan kurang mampu untuk mendapatkan sumber protein tersebut.

“Kita ambil kesempatan ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bersama membantu meringankan apa yang dihadapi rakyat.

“Sudah setahun saya bergerak tanpa peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, namun kita usaha bantu semampunya,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan ikan kepada orang ramai.

Dijangkakan seramai seribu buah keluarga mendapat manfaat sumbangan tersebut.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada JPKK PPR Hiliran kerana berjaya melaksanakan program tersebut.

Sementara itu seorang penerima, Abdul Rahman Hassan, 40, melahirkan kesyukuran kerana mendapat ikan percuma.

“Seronok, hari ini saya tak perlu lagi beli ikan lagipun sekarang musim tengkujuh, agak sukar untuk mendapat ikan.

“Alhamdulillah, boleh juga kurangkan sedikit perbelanjaan dapur,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2023


Ulasan