Banjir melanda enam negeri



Banjir melanda enam negeri
December 27, 2023

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat apabila dua lagi negeri turut dilanda bencana tersebut, berbanding empat negeri sebelum ini.

Menurut portal info bencana JKM, Johor dan Sabah menjadi negeri terbaharu turut dilanda banjir.

Sehingga jam 12.15 tengah hari jumlah mangsa banjir di enam negeri terbabit iaitu 25,980 orang daripada 7,975 keluarga dan mereka ditempatkan di 184 pusat pemindahan sementara (PPS).

Paling ramai mangsa banjir di Kelantan seramai 16,624 orang daripada 5,357 keluarga ditempatkan di 74 PPS. Terengganu pula mencatat jumlah mangsa banjir seramai 9,022 daripada 2,523 keluarga. Mereka ditempatkan di 102 PPS.

Sabah pula melibatkan 169 mangsa daripada 46 keluarga yang ditempatkan di 3 PPS. Seramai 83 mangsa banjir juga dipindahkan di Johor dan ditempatkan di sebuah PPS.

Pahang turut mencatat mangsa banjir seramai 78 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di 3 PPS. Di Selangor masih kekal empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Di Kelantan jumlah mangsa banjir paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 seramai 1,677 orang, SK Gual To’ Deh (1,071 orang) dan SK Gual Gual (1,054 orang) dan Sekolah Menengah Baroh Pial pula 956 mangsa.

Di Kuala Krai seramai 404 mangsa banjir ditempatkan di SK Bedal (404 orang) dan SK Banggol Guchil (199). Selain itu Balai Raya Padang Kijang Tanah Merah (60 orang) dan SK Kebangsaan Gual Jedok (107 orang).

Keadaan banjir di sekitar Kampung Manek Urai mulai surut pagi tadi, dan dijangka kawasan hilir paras sungai akan terus meningkat.

Sementara itu banjir mulai memenuhi beberapa kampung di sekitar Meranti, Gelang Mas, Kolam, Jambu dan Padang Mandol. Malah banjir juga melimpah di jalan dari Meranti ke Chabang Empat yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Kota Bharu pula banjir turut melimpah di jalan Pantai Cahaya Bulan berhampiran Cabang Tiga ke Perdana Resort awal pagi tadi.

Di Tumpat anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat meninjau Stesen Pam Saliran Sungai Pisau Raut di Mukim Bendang Pak Yong petang semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi, Adun Kelaboran
Adanan Hassan, wakil pejabat KADA, JPS Tumpat, penghulu dan wakil penduduk Kampung Pisau Raut.

Wan Roslan berkata, antara tindakan diambil termasuk membuka pintu pam air bagi proses mempercepatkan air yang limpah dari bendang padi terus keluar ke Sungai Golok. – HARAKAHDAILY 27/12/2023

Ulasan