Banjir terus memburuk di empat negeri



Banjir terus memburuk di empat negeri
Oleh FARHANA ABD KADIR26 Disember 2023 03:39pmMasa membaca: 1 minit

Keadaan banjir di negara ini semakin memburuk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 25,438 orang setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Keadaan banjir di negara ini semakin memburuk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 25,438 orang setakat jam 12 tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, antara negeri yang terjejas adalah Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sebanyak 242 pusat pemindahan sementara (PPS) aktif melibatkan 7,389 keluarga di 19 buah daerah empat negeri terbabit.

Di Kelantan sebanyak lapan daerah telah mengaktifkan 94 PPS yang melibatkan hampir 4,288 keluarga dengan 14,006 mangsa.


“Terdapat beberapa daerah telah diberi amaran bahaya dan dijangka mengalami hujan sangat lebat di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh serta Kuala Krai sehingga Selasa, 26 Disember 2023.

“Susulan kejadian ini, terdapat satu kematian di daerah Pasir Mas pada 24 Disember lalu,” katanya.

Pada Isnin, situasi banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding pagi tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, sebanyak 65 PPS dibuka melibatkan enam jajahan di negeri itu iaitu Kuala Krai (20), Tanah Merah (19), Pasir Mas (17), Gua Musang (empat), Machang (tiga) dan Jeli (dua).




Menerusi portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air empat sungai utama di negeri itu iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Nal di Kuala Krai, Sungai Golok di Tanah Merah serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada tahap bahaya.

Dalam pada itu, di Terengganu merekodkan tujuh daerah mengalami situasi banjir dengan jumlah 134 PPS yang melibatkan 2913 keluarga daripada 10,643 mangsa.

Antara daerah yang terlibat adalah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu dijangka akan mengalami hujan sangat lebat secara berterusan sehingga Selasa, 26 Disember 2023.

Sementara itu, di Pahang terdapat tiga daerah yang terjejas dan telah mengaktifkan 13 PPS melibatkan 187 keluarga dengan 785 mangsa.

“Daerah yang terlibat adalah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin dijangka akan mengalami hujan berterusan.

“Selangor pula mencatatkan satu daerah terjejas akibat banjir dan telah mengaktifkan satu PPS yang melibatkan satu keluarga dengan empat mangsa,” ujarnya.

Ulasan