Belanjawan Perlis 2024 peruntuk lebih RM293 juta

Belanjawan Perlis 2024 peruntuk lebih RM293 juta
Oleh Aizat Sharif - Disember 12, 2023 @ 7:33pm
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (kanan) bersama barisan Exco Perlis menunjukkan Buku Belanjawan 2024 Negeri Perlis yang dibentangkan pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, Kangar, hari ini. Aizat Sharif

KANGAR: Belanjawan Tahun 2024 Negeri Perlis memperuntukkan sejumlah RM293.92 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, belanjawan terbesar pernah dibentangkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Ketika membentangkannya, hari ini, beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM184.64 juta atau 62.82 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 juta atau 37.18 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan.

Katanya, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam yang sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, beliau turut mengumumkan semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan Perlis akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi BKK setengah bulan gaji tertakluk kepada minimum RM2,000 untuk semua penjawat awam. Bayaran ini akan dibuat pada akhir Februari tahun depan," katanya pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, di sini.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan motivasi semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu termasuk pegawai lantikan secara kontrak.

"Oleh hal demikian, mulai tahun hadapan, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah baik kemudahan kepada pegawai lantikan secara kontrak seperti cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti kuarantin dan cuti hospitalisasi.


"Pelaksanaan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seramai 154 pegawai lantikan kontrak," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa sebagai menghargai jasa dan sumbangan pegawai lantikan kontrak di bawah kerajaan negeri, tawaran kadar gaji baharu akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

"Ini bersesuaian membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM93,000 dan cadangan ini seiring dengan Manifesto Kerajaan Negeri yang memberi fokus kepada kebajikan rakyat Perlis," katanya.

Ulasan