Di mana gagasan Kepimpinan Ulamak dalam PAS?

SAYA tidak terkejut apabila ada pihak secara sinis mempertikaikan gagasan Kepimpinan Ulamak dalam PAS hanya semata-mata PAS menonjolkan tokoh profesional seperti Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) mahupun Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang bukan daripada kalangan agamawan.

Secara peribadi, pandangan sedemikian, walau apa pun niat di sebaliknya, bermaksud PAS telah berjaya mengetengahkan tokoh profesional dalam politik arus perdananya.

Suatu ketika, mereka skeptik kerana PAS hanya daripada golongan berketayap dan memakai lebai. Hari ini mereka mempersoalkan di mana golongan lebai di kala PAS menonjolkan sisi golongan profesional yang bersamanya. PAS sememangnya terkenal dengan gagasan Kepimpinan Ulamak, tetapi dalam masa yang sama PAS juga bersedia mengetengahkan ramai golongan profesional yang lahir daripada rahim perjuangan yang sama.

Populariti Dr. Sam yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.040 Kemaman dengan majoriti melebihi 37,000 tempoh hari adalah gambaran penerimaan rakyat terhadap tokoh profesional daripada PAS. Bahkan populariti yang sama ditunjukkan terhadap YAB Sanusi yang berjaya membawa gelombang sokongan anak muda terhadap PAS dan PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Umum dan Negeri yang lalu.

Hakikatnya gagasan Kepimpinan Ulamak masih kekal terpasak dalam perjuangan parti PAS sehingga hari ini. Tidak pernah luntur bahkan peranan ulamak semakin diberikan tempat. PAS masih mendukung sepenuhnya Kepimpinan Ulamak.

Majlis Syura Ulamak masih memandu perjalanan parti ini meskipun pernah berhadapan gelora ketidaktentuan politik tanah air beberapa tahun kebelakangan ini. Majlis Syura Ulamak masih menjadi tapisan kepada seseorang calon untuk masuk bertanding atas tiket PAS secara khusus dan kredibiliti wakil rakyat daripada PAS kekal utuh.

Kalaupun bukan figura ulamak yang ditonjolkan dalam pilihan raya, ia bukanlah bermaksud golongan ulamak telah dipinggirkan. Tunjang parti ini sememangnya didukung oleh para ulamak. Bukankah Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden serta Mursyidul Am dan barisan pimpinan utama yang lain adalah daripada golongan ulamak yang masih kekal memikul kepimpinan utama parti? Inilah gandingan ulamak dan umarak yang ada dalam PAS.

Tokoh profesional dalam PAS termasuklah Dr. Sam dan Sanusi tidak pernah meminggirkan peranan ulama’ di sisi mereka walaupun berada di tampuk nombor satu Kerajaan di peringkat negeri. Saya pun belum dengar lagi mereka merendah-rendahkan martabat ulamak sebagaimana seorang Menteri melakukannya terhadap seorang mufti semata-mata membenarkan konsert artis Barat berjalan terus di kala umat Islam Palestin bermandi darah.

Jadi, cakap siang, pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar.

DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/12/2023

Ulasan