Guru institusi pendidikan PAS terus istiqamah


KUCHING: Pengarah Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS), Hamdan Sani berharap para guru institusi pendidikan PAS akan terus istiqamah dalam jihad pendidikan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah bertungkus lumus menjadikan institusi pendidikan PAS hari ini terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Walaupun kita memiliki banyak kelemahan dan kekurangan, tetapi ia tidak menghalang untuk kita terus memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

“Semoga semua institusi pendidikan milik PAS akan terus maju serta menjadi pusat pendidikan Islam pilihan utama di negeri Sarawak,” ujarnya Ketika berucap pada Kem Sahsiah Guru yang berlangsung selama dua hari di Sungai Rayu Matang Wildlife, baru-baru ini.

Kem itu berjaya menghimpunkan lebih 50 para pendidik daripada semua pusat pendidikan milik PAS sekitar kawasan Kuching.

Selain ceramah dan aktiviti latihan dalam kumpulan, para peserta turut diberi peluang untuk menguji tahap ketahanan fizikal diri dengan aktiviti fizikal seperti kawad kaki, berjalan rentas sungai dan sukaneka yang dikendalikan oleh anggota Jabatan Amal Malaysia negeri dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Program tahunan yang dilaksanakan itu diadakan bagi meningkatkan jati diri dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan para pendidik yang menjadi tunjang kepada semua institusi pendidikan di bawah DPPNS.

Di bawah sektor pendidikan DPPNS terdapat tiga jabatan yang beroperasi menjalankan aktiviti khidmat pendidikan kepada masyarakat iaitu Jabatan PASTI, Jabatan SRITI dan Jabatan SMITI. – HARAKAHDAILY 5/12/2023

Ulasan