Hak milik kekal tanah di FELDA, Umno ‘bettak’ sangat


CERITA berkenaan Umno-BN yang selalu mempermainkan rakyat dengan janji-janji pemberian geran tanah kekal setiap kali pilihan raya, bukanlah cerita baharu, malah ia seperti sudah menjadi ‘trade mark’ bagi mereka sebagai parti politik yang paling kuat membohongi rakyat, terutama rakyat miskin. Kini dalam kempen PRK Kemaman, cerita ini timbul semula.

Saya bawakan sebuah kisah yang melibatkan tiga orang peneroka FELDA Neram 2 di dalam Parlimen Kemaman yang agak menarik untuk pengetahuan semua. Mereka bertiga adalah bekas ahli Umno dan sekarang telah menyertai PAS. Pandangan mereka terhadap PAS mulai berubah setelah mereka melihat sendiri akan ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah penguasaan PAS.

Ismail Mamat 69, telah mula meneroka tanah di FELDA Neram 2 bermula awal tahun 80-an. Dengan tulang empat kerat, beliau membawa keluarga berpindah sama ke situ bagi memulakan kehidupan baharu dan dengan harapan yang cukup tinggi untuk membina keluarga bahagia. Kata beliau, mereka telah disediakan tanah seluas 10 ekar setiap peserta bagi tujuan penanaman sawit.

Tanah itu selepas 25 tahun, menurut beliau sepatutnya akan diberi geran kekal kepada semua peserta. Beliau yang ketika itu menjadi ahli Umno Cawangan FELDA Neram 2, hanya menunggu janji-janji itu. Tetapi malangnya, janji-janji itu tidak pernah ditunaikan walaupun diuar-uarkan pada setiap kali kempen pilihan raya.

Encik Shafie Idris 64, pula menceritakan bahawa sebaliknya Ab. Razak Ibrahim yang dikenali sebagai Cikgu Razak, mantan ADUN Air Putih (PAS) tahun 2018-2023 pula yang berusaha keras bagi memberikan geran kekal kepada peneroka. Paling menggembirakan lagi, pembahagian oleh Kerajaan PAS itu, tidak memilih parti mana, semua yang layak akan mendapat geran kekal itu, tiada beza. Berlawan dengan sikap pemerintah terdahulu yang tidak cukup dengan mengugut, diambil tindakan dan kemudiannya memungkiri janji mereka.

“Dulu janji 25 tahun untuk beri geran kekal, tapi tak dapat. Dengan wakil rakyat lama, tak dapat. Cikgu Razak usahakan dan tidak membezakan antara orang Umno ke PAS. Dia usaha atas nama peneroka, bukan atas nama PAS,” cerita beliau ringkas.

Keseluruhan tanah yang beliau dan peserta lain dapat ialah seluas 10 ekar dan tanpa dikenakan bayaran premium. Beliau yang pernah menjadi ahli Umno di cawangan tersebut, secara tegas mengatakan Kerajaan Terengganu di bawah Dr Samsuri (Dr Sam), menunaikan janjinya. Kini beliau mengajak semua pengundi untuk mengundi Dr Sam sebagai wakil Kemaman.

Syafie Mamat 65, antara golongan muda yang meneroka tanah di FELDA Neram waktu pembukaannya dahulu, berusia 21 tahun. Beliau diberikan janji yang geran kekal akan dimiliki setelah 25 tahun mengerjakan tanah tersebut. Dan janji-janji itu berterusan sehingga pilihan raya berganti pilihan raya, namun hampa.

“Saya masih ahli Umno ketika itu, tapi sesama Umno pun kena kencing juga, tiada seorang pun peneroka yang dapat (geran kekal). Dan apabila Cikgu Razak menang, beliau terus membuat kerja bagi membantu peneroka mendapat tanah setelah Cikgu Razak menyatakan komitmen dia,”.

“Bagus Cikgu Razak kerana tidak pilih kasih. Dan kerana ini saya terus memilih untuk bersama PAS,” terang beliau.

Untuk rekod, tiada seorang pun daripada peneroka di Neram 2 mendapat tanah setelah melewati tempoh 25 tahun sebagaimana yang dijanjikan dahulu. Alhamdulillah tahun 2023, seramai lebih 100 orang daripada 544 orang telah diberikan geran kekal tahun lalu manakala baki daripada jumlah itu masih diproses kerana beberapa alasan teknikal.

Untuk Shabery Cheek yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kemaman dan sekarang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif FELDA, apa tindakan kau sewaktu menjawat jawatan ini? Adakah janji-janji kau dahulu kerana sengaja mahu mempermainkan orang kampung?

Jahatnya permainan Umno, memang sudah diketahui semenjak dahulu lagi. Dan kini mereka datang lagi bersembang perihal tanah FELDA? Maaf, mung bettak sangat Umno. Calon BN tak tahu apa pasal isu ni, dia pun masih tengah belajar mana satu Parlimen, mana satu DUN.

MOHD NASIR ABDULLAH
30 November 2023 – HARAKAHDAILY 30/11/2023

Ulasan