Jangan sampai Kg Setia Jaya hadapi nasib seperti Gaza


Jangan sampai Kg Setia Jaya hadapi nasib seperti Gaza
December 15, 2023



KERAJAAN perlu mempunyai ketegasan untuk membela, melindungi dan menjamin kependudukan rakyat dalam mendiami sesuatu kawasan penempatan atau perumahan. Antara terpaling penting adalah dengan memberi atau memudahkan permohonan pemilikan tanah sekiranya ia wajar dan munasabah.

Pembangunan dan pemodenan berdasarkan keperluan zaman semasa sememangnya dialu-alukan, tetapi mesti mencapai tujuan yang lestari. Ia mestilah untuk meningkatkan daya huni dan kesejahteraan penduduk dan sebarang konflik yang timbul wajib dipastikan tidak menganiaya penduduk.

Sebaliknya, jika pembangunan dan pemodenan mahu diadakan itu sehingga menyukarkan kehidupan telah sedia dijalani penduduk, ia mesti dikaji semula. Pertimbangan yang adil, prihatin dan berkebajikan perlu diutamakan dan menghindari sebarang masalah kepada kehidupan.

Kampung Setia Jaya dalam Parlimen Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini berdepan rancangan pembinaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC). Malang sekali, usaha murni pembangunan pendidikan ini sedang memaksa penduduk asalnya berpindah keluar.

Kami melihat ia keputusan yang salah apabila memberikan pemilikan kepada satu pihak tanpa mengambil kira hak di satu pihak iaitulah penduduk asal. Sudah tentu keadaan seperti ini menyalahi tujuan kehidupan, sebaliknya telah dipengaruhi oleh kepentingan tertentu setidak-tidaknya bersifat komersial.

Namun, sehingga akan merisikokan para penduduk asal merempat atau terusir di tanah air sendiri hanya kerana pembangunan itu, ia jelas satu penindasan. Malah berdasarkan sejarah atau tragedi pernah terjadi, kami khuatir ini menjadi satu lagi usaha melenyap hapuskan kependudukan kaum.

Kita tidak akan lupa bagaimana kawasan kediaman atau kependudukan kaum Melayu di bandar telah pupus ditelan oleh pembangunan dan pemodenan. Antaranya Kampung Batu Uban dan Kampung Batu Ferringhi di Pulau Pinang, serta Kampung Chubadak, Kampung Aman dan Kampung Berembang, Kuala Lumpur.

Lebih memeranjatkan, para penduduk bakal terusir dari Kampung Setia Jaya itu sebahagiannya adalah veteran tentera yang memahat jasa penting di tanah tersebut. Tanah asal hutan di situ telah diteroka mereka di tahun 1970-an atas permintaan Perdana Menteri Ke-2, Tun Abdul Razak Hussein.

Ianya adalah agenda nasional bagi meramaikan penduduk Bumiputera Melayu di Ibu Negara dalam mengimbangi dan menstabilkan politik ketika itu. Ini seharusnya menjadi bukti taat setia bekas perajurit itu dan pengorbanan mereka meninggalkan kampung halaman demi menyahut tuntutan tersebut.

Apakah kini kerajaan memandang enteng jasa golongan perwira itu dan keluarga mereka dengan dibiarkan terkontang-kanting tanpa memiliki kediaman? Kita tidak akan lupa ungkapan bahawa seandainya tanah air ini difaraidkan, maka golongan tentera inilah perlu diutamakan dahulu untuk memilikinya.

Paling kami bimbangkan adalah wujudnya muslihat terselindung di sebalik pembangunan mahu diadakan tersebut yang bersifat perkauman. Kerana ia dilihat sebagai pengusiran sistematik dan strategik terhadap kaum Melayu, sebagaimana rancangan sebuah parti politik untuk menguasai kawasan bandar.

Berdasarkan makluman oleh penduduk sendiri, tawaran pampasan mahu dibayar oleh pihak pemaju amatlah tidak munasabah dengan realiti semasa. Usahkan untuk diukur pengorbanan atau nilai kehidupan telah mereka lalui, malah untuk mendapat kediaman atau rumah ganti juga mustahil.

Kami mencadangkan kerajaan menetapkan kepada pemaju memberikan kediaman ganti di dalam Parlimen Wangsa Maju juga. Kediaman tersebut mestilah memiliki keluasan tidak kurang 750 kaki persegi dan mempunyai 3 bilik. Selain ditawarkan kediaman kepada anak-anak peneroka asal dengan diskaun 50 peratus.

Atau kerajaan boleh menetapkan kepada pemaju, daripada 50 ekar bakal dimajukan, seluas 7 ekar diperuntukkan bagi pembinaan 1,000 unit rumah kediaman flat kos rendah. Sebanyak 500 unit diberi milikkan kepada penduduk terlibat dan 500 lagi boleh dijual.

Kami menggesa para pemimpin kerajaan dan para pemimpin Melayu khususnya untuk melihat secara serius isu ini yang merupakan sebahagian polarisasi. Jangankan ketika dunia melihat pengusiran terancang di Gaza, rakyat kita di Kampung Setia Jaya juga menghadapi nasib serupa.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/12/2023

Ulasan