Kesejahteraan semua pihak perlu jadi naratif baharu ekonomi

Kesejahteraan semua pihak perlu jadi naratif baharu ekonomi
Oleh Muhammad Ehsan Kamil Mohamad Radzi - Disember 10, 2023 @ 10:52am
bhrencana@bh.com.my

Sudah tiba masanya untuk merangka naratif baharu bagi membimbing ekonomi kita dengan cara menolak konsep neoliberalisme keterlaluan dan menggalakkan kesejahteraan sejagat sebagai keperluan ekonomi, sekali gus memastikan fahaman ideologi keras tidak sekali-kali memenangi pertempuran idea.

Walaupun naratif baharu mungkin tidak kelihatan begitu ketara perbezaannya, betapa pentingnya ia diberi penekanan dan asasnya dalam memupuk perubahan sistem yang kita perlukan sekarang.

Jika ditanya mana-mana siswazah lepasan program perniagaan atau ekonomi berkenaan apakah tujuan penubuhan syarikat? Kemungkinan besar kita akan mendapat jawapan sama, iaitu untuk memaksimumkan kekayaan pemegang taruh.

Pandangan ekonomi ini sangat tertanam dalam pemikiran sebahagian profesor dan ahli ekonomi sekolah perniagaan yang akhirnya mengakibatkan pembentukan pemikiran pengurus perniagaan atau syarikat yang mereka ajar dan lahirkan.
DISYORKAN UNTUK ANDA

Jauhi transaksi tidak beretika, pastikan sektor halal Malaysia berkembang baik

Inisiatif SABDA pastikan keterjaminan makanan Selangor

Sime Darby Property sasar sifar bersih menjelang 2050

Malaysia berpotensi jadi hab automotif rantau ASEAN

Jadikan ekonomi penjagaan agenda tingkat kesejahteraan keluarga

Amanah, semangat jayakan Dasar Gaji Progresif

Firma Malaysia perlukan produk bersaing di pasaran dunia

Pejabat Konsul Kehormat baharu perkukuh hubungan Malaysia-Monaco - Putera Albert II


Namun, masalah bermula apabila terdapat beberapa jaringan atau kumpulan selain pelabur yang sumbangan mereka kepada perniagaan adalah seperti diperlukan dan bernilai. Memaksimumkan kekayaan pemegang taruh masih mendominasi pemikiran ekonomi, ia adalah hasil langsung daripada idea neoliberal.

Perspektif bahawa syarikat wujud untuk memaksimumkan kekayaan pemegang saham paling kerap dikaitkan dengan ahli ekonomi yang sudah meninggal dunia, iaitu Penerima Hadiah Nobel dalam Ekonomi dari Amerika Syarikat (AS), Milton Friedman.


Hujah Friedman yang tertanam dalam hampir semua buku teks ekonomi, berasal daripada karya sekumpulan ahli ekonomi, ahli falsafah dan ahli sejarah yang agak kurang dikenali. Naratif ini mendominasi pemahaman global mengenai perkara yang dilakukan oleh ekonomi dan perniagaan dan sebab ia wujud, apatah lagi berita setiap malam melalui liputan pasaran perniagaan secara berterusan.

Membentuk perubahan sistem yang besar untuk mengatasi masalah sedemikian menunjukkan bahawa perlu penstrukturan semula ekonomi untuk merancang atau mengawal perubahan.

Apa yang diperlukan seperti berlaku dengan penciptaan naratif teras neoliberalisme, ialah set atau model ekonomi baharu yang merangka naratif ekonomi serta masyarakat baharu wajar diwujudkan.

Model ekonomi baharu yang diperkenalkan berteras Ekonomi MADANI untuk memperkasa kesejahteraan rakyat harus didukung dengan ampuh oleh organisasi tempatan dan global, universiti dan seluruh unit ekonomi serta perniagaan berdasarkan tanggapan bahawa institusi dan perniagaan utama negara harus beroperasi demi kesejahteraan dan maruah untuk semua.

Ekonomi sebahagian masyarakat, alam

Naratif esok perlu dirangka dengan sangat berbeza daripada hari ini. Ia perlu mengiktiraf bahawa ekonomi adalah sebahagian daripada masyarakat dan alam semula jadi, tetapi bukan satu-satunya perkara yang penting.

Naratif baharu harus merangka tujuan perniagaan dengan sangat berbeza, mengambil kira pihak berkepentingan berlainan dan persekitaran semula jadi. Ia juga boleh menyediakan asas lebih munasabah dan berkesan untuk menyelesaikan krisis utama zaman kita, seperti akses sejagat pendidikan dan kesihatan; perlindungan sosial dan perubahan iklim serta keterangkuman dan kesaksamaan peluang perniagaan dan sosial.

Dengan menumpukan kepada penghasilan nilai kolektif, bukan sekadar kekayaan pemegang taruh, maruah dan kesejahteraan boleh dipertingkatkan. Sebagai contoh, dengan menekankan penciptaan dan kestabilan pekerjaan; dasar gaji yang progresif, adil dan bermakna; peralihan kekayaan kewangan, kecekapan dan pertumbuhan kepada perindustrian baharu yang berteknologi hijau.

Langkah seperti Kertas Putih Dasar Gaji Progresif akan menggabungkan kesejahteraan dan maruah individu ke dalam ukuran ekonomi, berbanding hanya aktiviti atau petunjuk ekonomi yang hebat menerusi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jika kita berharap untuk mengatasi arus populis dan proteksionisme yang melanda ekonomi dunia ketika ini, naratif baharu lebih berkesan amat diperlukan. Memperkasakan ekonomi rakyat adalah wadah untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Penulis adalah Penganalisis ekonomi

Ulasan