Lim Kit Siang: Perangai lempar batu sembunyi tangan

Lim Kit Siang: Perangai lempar batu sembunyi tangan
December 21, 2023


LIM Kit Siang mungkin telah dibutakan oleh impiannya untuk mewujudkan Malaysian Malaysia sehingga gagal memahami kandungan kenyataan media Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ironi apabila Lim Kit Siang menuduh kenyataan Datuk Takiyuddin sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sedangkan DAP melalui Malaysian Malaysia jelas menolak pembahagian Bumiputera dan bukan Bumiputera yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah politik yang diamalkan DAP. Apabila pemimpin Melayu terutama PAS membalas, mereka gelar kita ekstrem dan rasis sedangkan DAP yang sering memulakan isu bersifat memecah belah dan melaga-lagakan.

Bukankah DAP yang pertama sekali membangkitkan isu pelantikan Perdana Menteri bukan-Melayu? Bukankah DAP yang gagal memahami kontrak sosial lalu ingin perjuangkan Malaysian Malaysia? Bukankah DAP yang menekan untuk diadakan Pilihan Raya PBT yang boleh membawa ketegangan kaum?

Jika ini bukan ‘naratif beracun’, apakah perkataan yang sesuai digunakan wahai Tan Sri Lim Kit Siang?

Adakah kalian sangka PAS akan diam membisu dan menjadi pak turut seperti Umno dan PAN apabila melihat DAP bersungguh-sungguh cuba membuka ruang polarisasi kaum yang lebih besar?

Saya pasti setiap rakyat Malaysia yang faham sejarah dan kandungan Perlembagaan Persekutuan menyedari serta menolak naratif beracun yang sedang digerakkan oleh DAP dan sekutunya ini.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan & Media Baharu PAS Pusat
21 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 21/12/2023

Ulasan