MB akui sebak dengar luahan penduduk Rantau Panjang


MB akui sebak dengar luahan penduduk Rantau Panjang
December 28, 2023

PASIR MAS: Menteri Besar (MB) Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengakui terasa sebak apabila mendengar luahan penduduk supaya benteng banjir dibina laluan keluar air.

“Apabila mendengar luahan-luahan begini rasa sebak rasa hiba menjelma. Pelbagai peringkat merasai tempiasnya. Baik anak-anak kecil, orang tua malah haiwan ternakan serta tanaman turut terjejas.

“Ambo ikhtiar sedaya mungkin baik di peringkat negeri mahu pun bantuan Pusat agar isu banjir dapat diatasi segera,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum ini ahli parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad (foto bawah) sering kali mendesak supaya dibina laluan air benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Malah pada November lepas Kamaruzaman membangkitkan isu tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan. Perbincangan juga diadakan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Besar berkata, beban rakyat menjadi keutamaan untuk difikirkan bersama mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun dua hari lepas projek PLSB Sungai Golok di Kampung Lanchang pecah disebabkan arus deras.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah dilapor berkata, benteng berkenaan pecah membabitkan kelebaran 20 meter.

Benteng berkenaan dibina dengan ketinggian kira-kira 10 meter (m), manakala paras Sungai Golok ketika kejadian berlaku mencecah 11.03 m.

Sementara itu laman Info Bencana JKM sehingga jam 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir di lima negeri terus meningkat kepada 28,125 yang melibatkan 8,835 keluarga di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Di Kelantan 62 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan 21,498
Mangsa banjir daripada 6,970 keluarga.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh seramai 1,827 orang, SK Sri Rantau Panjang 2 (2,056 orang), SK Gual Tinggi (2061 orang) dan SK Gual Periok (460 orang).

Banjir turut melanda Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat. Cuaca di kawasan utara Kelantan hari ini agak cerah, namun mendung di kawasan hulu.

Di Terengganu pula 59 PPS beroperasi yang menempatkan 6,355 mangsa daripada 1,777 keluarga.

Jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan di Sekolah Menenangah Kebangsaan Menerong Hulu Terengganu seramai 301 orang, Pusat Pemindahan Batu 23 Hulu Terengganu seramai 257 orang, Dewan Terbuka Felcra Insitu Kampung Betong (255 orang).

Selain itu Dewan Sivik Felda Seberang Tayor Kemaman (289 orang), Dewan Orang Serbaguna Kampung Shukor Dungun (201 orang) dan Balairaya Kampung Pengkalan Ajal (212 orang).

Manakala jumlah mangsa banjir di Pahang 131 orang, Johor (121 orang) dan Sabah (20 orang). – HARAKAHDAILY 28/12/2023

Ulasan