Ngeh Koo Ham dituntut mohon maaf secara terbuka December 30, 2023


ISLAM adalah agama Persekutuan, itu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sejak Merdeka. Kedudukan ini telah dihormati dan diterima semua rakyat Malaysia berbilang kaum selama puluhan tahun termasuk dari kalangan bukan-Melayu dan bukan-Islam.

Umat Islam dalam negara mengamalkan cara hidupnya dengan bebas dan aman sebagaimana yang bukan-Islam. Masing-masing saling hormat menghormati , dan sedar akan batas dan sempadan yang perlu dipelihara dan dipatuhi.

Malah di Kelantan dan Terengganu yang majoriti Melayu pun tidak pernah berlaku krisis atas isu antara agama kerana masing-masing sedar dan faham akan pentingnya toleransi demi untuk hidup aman bersama.

Urusan umat Islam diurus dan dikendalikan umat Islam begitu juga urusan bukan-Islam sama ada Kristian, Buddha, Hindu atau lain-lain diurus oleh penganut masing-masing zaman berzaman di negara kita.

Tidak pernah berlaku contohnya desakan atau tuntutan agar urusan agama Kristian turut melibatkan wakil Islam. Sudah tentu ia janggal dan tidak sihat kerana pasti akan cetuskan ketidakselesaan yang boleh membawa kepada ketidakharmonian.

Kehidupan berbilang agama yang aman dan harmoni di Malaysia cukup baik sehingga menjadi sebutan dunia luar.

Tiba-tiba muncul seorang pemimpin DAP, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menuntut supaya kerajaan turut melantik pakar daripada orang bukan-Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal Undang-undang Islam.

Cadangan ini sudah tentu melampau kerana ia seakan memaksa masyarakat Islam menerima wakil bukan-Islam untuk menentukan nasib dan urusan mereka.

Ia telah cetuskan kemarahan umat Melayu Islam dalam negara menunjukkan betapa DAP tidak pernah peduli pada sensitif pada agama sesama warga Malaysia.

Semalam DYMM Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah agar rakyat yang bukan-Islam jangan sampai mencampuri urusan umat Islam.

Menurut akhbar Sinar Harian:

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.”

Selaku Ketua Agama dan payung buat umat Melayu Islam wajar sangat titah Tuanku itu sebagai satu amaran dan pengajaran kepada pimpinan parti ekstrem yang tidak menghargai kestabilan rakyat berbilang agama yang kita ada hari ini.

Sinar Harian turut melaporkan:

“Justeru, Sultan Selangor mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.”

Jangan bermain api sehingga mengundang huru-hara dalam negara kita yang aman.

DAP perlu ambil tindakan terhadap Ngeh dan beliau sendiri perlu menarik balik tuntutannya dan memohon maaf pada semua termasuklah Raja-raja Melayu.

Di mana bumi di pijak di situ langit di junjung.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 30/12/2023

Ulasan