Penduduk pasang penghadang elak arus banjir

 

Penduduk pasang penghadang elak arus banjir
December 28, 2023

RANTAU PANJANG: Seorang penduduk di Kampung Siram dekat sini mengambil inisiatif memasang penghadang menggunakan pelepah kelapa, papan dan botol plastik ketika banjir melanda.

Ia bertujuan bagi mengurangkan impak arus deras banjir daripada menghempas pintu rumah kedainya ketika dilalui bot penyelamat.

Ibu tunggal, Fadilah Mohd Noor, 44 berkata, beliau membina penghadang itu apabila banjir naik sehingga sedalam 0.5 meter sejak petang Selasa.

“Banjir berpunca daripada hujan dan limpahan Sungai Golok yang berarus deras ditambah pula apabila bot-bot penyelamat serta penduduk melalui kawasan ini.

“Jadi, dengan adanya penghadang dapat mengurangkan kesan air menghempas pintu kedai seterusnya menggelakkan kerosakan lebih teruk,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Kedai runcit dan warung makanan pagi yang diusahakan armalah terbabit terletak di tepi jalan lama Rantau Panjang-Pasir Mas.

Menurutnya juga setiap kali musim tengkujuh beliau dan penduduk sering terkesan akibat banjir.

Beliau juga tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana mahu menyelamatkan barangan perniagaan dan peralatan rumah daripada ditenggelami banjir.

“Barangan runcit ada yang telah ditenggelami air manakala sebahagian lagi sudah dialih ke tempat lebih tinggi.

“Ada barang yang sempat saya selamatkan dan ada yang tidak dapat untuk diselamatkan apabila air naik dengan begitu cepat,” katanya.

Beliau juga berkata, banjir di kampung tersebut berlaku setiap tahun dan paling teruk pada tahun 2014. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

Ulasan