‘Perjuangan ini adalah ujian Allah kepada kita’



Tuan Guru Zulkifli Ismail

MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail mengingatkan seluruh ahli PAS bahawa mereka adalah tetamu dalam perjuangan Islam dibawa parti itu yang berterusan sehingga hari kiamat.

Menurut beliau, ini dapat dilihat dengan pejuang-pejuang parti yang tidak akan kekal dan silih berganti dari generasi ke generasi disebabkan faktor usia dan sebagainya.

“Pada hari ini kita berada di dalam jemaah ini. Beberapa waktu yang lampau ayahanda kita, begitu juga generasi awal, mereka berada dalam jemaah ini.

“Dan pada masa akan datang perjuangan ini akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Justeru itu perjuangan ini bukanlah milik kita. Perjuangan ini adalah ujian Allah kepada kita,” ujarnya.

Kerana itu menurut beliau, seluruh ahli PAS yang terpilih untuk berada dalam perjuangan harus menyambut kurniaan Allah tersebut.

“Apabila kita menekuni makna ini bahawa kita hanyalah tetamu dalam perjuangan ini, apabila kita menekuni makna ini bahawa perjuangan ini adalah ibadah dan ketaatan.

“Apabila kita menekuni makna ini bahawa kita dilindungi oleh Allah, maka jangan bimbang,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program ‘Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden’ peringkat negeri di Dewan Kompleks PAS Bukit Katil, di sini, semalam.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menambah, setelah menekuni makna bahawa perjuangan ini tidak boleh dan tidak dapat dihalang, maka seluruh ahli PAS perlu berjuang dengan serius dan bersungguh-sungguh.

“Perjuangan PAS ini adalah merupakan perjuangan yang berlandaskan kepada perintah Allah SWT. Apabila kita menyambut perintah Allah, ia adalah satu ibadah dan ketaatan kepada Allah.

“Justeru itu berada di dalam jemaah ini dan berjuang dengan bersungguh-sungguh akan mendedahkan golongan yang beriman itu kepada ganjaran ketaatan daripada Allah SWT,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Tegas beliau, perjuangan yang berlandaskan jemaah jemaah Islam itu adalah perjuangan yang dijanjikan oleh Allah dengan kemenangan.

Pembentangan kertas kerja Munaqasyah ucapan dasar Presiden telah disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden sementara kertas kerja kedua berjudul ’10 Arahan Dan Tindakan’ pula akan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil. – HARAKAHDAILY 17/12/2023

Ulasan