Raffles dakwa Islam 'rosakkan' Melayu


Raffles dakwa Islam 'rosakkan' Melayu

Oleh Hafizah Iszahanid - Disember 11, 2023 @ 3:44pm
Melayu di mata orientalis, Stamford Raffles adalah bangsa yang ‘dirosakkan’ oleh agama Islam dan orang Melayu dakwanya tidak akan mampu mencapai kecemerlangan seperti zaman mereka beragama Hindu-Buddha malah pagan.

KUALA LUMPUR: Melayu di mata orientalis, Stamford Raffles adalah bangsa yang 'dirosakkan' oleh agama Islam dan orang Melayu dakwanya tidak akan mampu mencapai kecemerlangan seperti zaman mereka beragama Hindu-Buddha malah pagan.


Kecemerlangan zaman Hindu-Buddha itu dakwa Raffles boleh dilihat antaranya menerusi tinggalan monumen seperti candi Borobudur juga karya dan susunan sosial yang ketara.

Dalam hal ini, Felo Penyelidik Prinsipal, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Syed Muhammad Khairuddin al Junied menyifatkan Raffles meskipun membenci orang Melayu tetapi dalam masa yang sama dia menyayangi bangsa itu dan terpengaruh dengannya malah menyebutkan dalam bentuk paling murni, Islam adalah agama yang patut dihormati dan dikagumi.

'Kerosakan' yang didakwa Raffles itu sebenarnya disebabkan beliau melihat agama Islam adalah dinding yang menghalang British mempengaruhi cara hidup orang Melayu.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Justeru itulah beliau melihat agama Islam meninggalkan 'kerosakan' kepada orang Melayu khususnya dalam konteksnya menjadi pelindung kepada bangsa itu berbanding Hindu atau Buddha yang lebih menerima pengaruh Barat," katanya.


Felo Penyelidik Prinsipal, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Syed Muhammad Khairuddin al Junied menyifatkan Raffles meskipun membenci orang Melayu tetapi dalam masa yang sama dia menyayangi bangsa itu dan terpengaruh dengannya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Tegas Syed Muhammad Khairuddin, pandangan sebegini memperlihatkan kelicikan golongan orientalis justeru sarjana perlu berhati-hati namun dalam masa sama tidak salah bersetuju jika terdapat pandangan yang dinyatakan adalah betul.

Katanya, sebagai sarjana, tidak salah untuk memetik pandangan orientalis tetapi perlu disedari terdapat tiga tahap penyelidikan iaitu fakta, teori dan pandangan serta metadologi kajian yang digunakan.

Justeru kata Syed Muhammad Khairuddin, seharusnya kita bijak menilai misalnya seperti apabila orientalis menyebut Melayu itu malas, perhatikan apakah metadologi yang digunakan? Jika dia hanya melihat kepada orang yang berkumpul di kedai kopi pada sebelah pagi, adakah ia sudah memadai?

Bagaimanapun dalam masa sama tegas beliau, jangan membuat membuat kritikan terhadap tulisan orientalis sekadar disebabkan mereka tidak menghormati masyarakat di Nusantara.

"Sedangkan sejarah memberi kita ruang membuat kritikan balas dengan lebih dihormati. Kita tidak harus melihat Barat sebagai bangsa yang lebih superior dan takut mengkritik Raffles.

"Kita sebaliknya harus menjadi lebih baik misalnya setiap penyelidikan atau tulisan yang dibuat oleh orientalis jangan diambil sebegitu sahaja," katanya.

Syed Muhammad Khairuddin berkata, sebelum ini sejarawan terdahulu cenderung mengambil pandangan yang negatif secara keseluruhannya dalam menilai orientalis, namun hari ini kelompok baharu melihat dengan seimbang, apa yang perlu dikritik dan menerima jika sesuatu isu itu benar.

Naskhah Melayu di Mata Raffles mengemukakan idea orientalis itu mengenai agama dalam kalangan orang Melayu yang penuh prasangka. - Foto ihsan Nazirul Mubin


Katanya lagi, Hinduisme membawa kecemerlangan materi misalnya dalam pembinaan bangunan tetapi sebaliknya Islam memberi nafas baharu kepada orang Melayu.

Namun terdapat beberapa konsep sebelum Islam yang masih dipakai orang Melayu misalnya, mereka masih cenderung menyebut sembahyang bukan solat begitu juga dengan istilah puasa.

"Ketika saya memulakan kajian terhadap Raffles cabarannya bukan sedikit malah saya disindir kerana cuba menyentuh 'tokoh suci' di Singapura ini.

"Di Singapura, nama Raffles itu dilihat sebagai penanda aras mutu dan keunggulan. Singapura melihat Raffles sebagai pelopor kemodenannya sehinggakan saya berhadapan dengan pelbagai sindiran.

"Bagaimanapun, hari ini sudah banyak gerakan-gerakan yang memperdebatkan sejarah Singapura sebelum Raffles, 700 tahun sebelumnya," katanya.

Syed Muhammad Khairuddin sebelum ini mengkaji Raffles bagi ijazah sarjananya dan baru-baru ini menerbitkan kajian itu dengan tajuk Melayu di Mata Raffles bagi mengemukakan idea orientalis itu mengenai agama dalam kalangan orang Melayu yang penuh prasangka.

Tulisan itu sebelum ini dihasilkan dalam bahasa Inggeris menegaskan pada peringkat awalnya ketika mula tinggal di Nusantara, Raffles begitu menghormati Islam malah menyedari majoriti orang Melayu adalah beragama Islam malah agama itu menjadi elemen penting kemelayuan.

Malah menerusi Abdullah Abdul Kadir Munshi, Raffles mengumpulkan koleksi manuskrip Melayu selain mengetahui pencapaian intelektual Islam dalam bidang ilmu dengan kebanyakannya bertulis jawi. Namun, pandangan itu berubah dengan melihat Islam sebagai perosak dan menjadi dinding kepada orang Melayu hingga sukar ditembusi Barat.

Bagaimana di sebalik semua itu persoalan yang lebih menarik adalah kebangkitan pandangan serupa dalam kelompok masyarakat hari ini, apabila Islam dianggap sebagai rintangan kepada kemajuan umat Melayu.

Dalam hal ini, seperti ditulis Syed Muhammad Khairuddin dalam naskhahnya itu adalah baik untuk berdialog dan bukan menerusi keganasan.

Namun sejauh mana kita mampu membezakan antara kedua-duanya adalah di atas garisan kelabu, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Ulasan