Rumah MB Kelantan turut dilanda banjir

Rumah MB Kelantan turut dilanda banjir

December 27, 2023


PASIR MAS: Rumah Menteri Besar (MB) Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di Kampung Meranti dekat sini turut dilanda banjir.

Pada hantaran di laman Facebooknya beliau memberitahu kawasan rumahnya mulai dinaiki banjir agak mendadak pada tengah malam tadi.

“Paras air naik agak cepat. Lewat malam tadi kawasan rumah saya turut dinaiki air dan juga di sekitar Kampung Meranti.

“Alhamdulilah, pagi ini saya masih dapat melaksanakan tugasan rasmi ke pejabat bagi mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim,” katanya.

Sehingga tengah hari ini banyak kampung yang terletak tidak jauh dari Sungai Golok di kawasan Meranti mulai dilanda banjir.

Sementara media melaporkan selatan Thailand begitu terjejas akibat banjir yang melanda negara terbabit sejak 25 Disember lepas.

Malah ada rakaman video di media sosial merakam detik-detik rumah penduduk dihanyut arus deras. Anggota keselamatan terpaksa bertungkus lumus bagi menyelamatkan penduduk.

Media melaporkan puluhan sekolah di wilayah Yala dan Narathiwat terpaksa ditutup.

Turut dilaporkan sekurang-kurangnya tujuh bot karam di Teluk Thailand dan Laut Andaman sejak 22 Disember. Landasan kereta api turut ditenggelami banjir di Yala.

Lima wilayah dilaporkan dilanda banjir di mana Narathiwat paling terjejas. Wilayah lain termasuk Yala, Pattani, Songkhla dan Satun. – HARAKAHDAILY 27/12/2023

Ulasan