SATU DEKAD KHIDMAT MALAYSIA : PAHIT JERIH 10 TAHUN KHIDMAT MALAYSIA


SATU DEKAD KHIDMAT MALAYSIA : PAHIT JERIH 10 TAHUN KHIDMAT MALAYSIA

Susah payah dan pahit jerih yang dilalui selama 10 tahun lalu sudah tentu sekali menjadi kenangan manis dan pengalaman emas untuk kita warga Khidmat Malaysia menghadapi cabaran pada masa hadapan. Pertama sekali, ayuh sama-sama kita menghargai dan berterima kasih kepada jasa orang-orang terdahulu kepada kita semua kerana berjaya menghidupkan organisasi yang memberi jasanya kepada Malaysia ini hingga sekarang.

Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
Maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.”
Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035)

Sebagai sebuah badan Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana khasnya, kita harus berbangga kerana kita telah berjaya menyelaras dan mengoperasikan badan ini selama 10 tahun tanpa henti berkhidmat untuk kemanusiaan dan masyarakat.

Di sinilah peranan penting semua pihak sama ada yang mengerakkan jentera sukarelawan mahupun yang bertindak sebagai penyelaras kerana ianya saling memerlukan antara satu sama lain. Bermula seawal tahun 2013, Khidmat Malaysia mengorak langkah menyusun semula gerak kerja penyelarasan bencana yang mana sebelum ini tidak berapa sistematik dan tersusun caranya, Khidmat Malaysia mengambil inisiatif bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara bantuan disampaikan secara teratur agar tidak menjadi lambakan barangan bantuan dan tenaga di suatu tempat.

Bermula seawal 2013 lagi sehingga kini, Khidmat Malaysia terus dikenali dan disegani diperingkat nasional. Kaedah dan SOP terus dipertingkatkan dan juga hubungan secara rasmi dan strategik melalui NADMA, sebagai Rakan NGO NADMA. Khidmat Malaysia juga menjalin kerjasama sebagai Rakan Koordinasi Strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kemasyarakatan dan juga bersama Yayasan Al-Manjie dan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan NGO seperti Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan berkolaburasi dengan pelbagai entiti masyarakat setempat.

Dalam membawa cogan kata ‘Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana ALLAH’ adalah selaras dengan Visi KHIDMAT MALAYSIA iaitu Menjadi Organisasi Pilihan Yang Dipercayai dan Diyakini Dalam Pengurusan Bencana dan Kecemasan. Sepanjang 10 tahun ini tiga misi utama telah berjaya dan sedang berjalan dengan sebaiknya.

1. Mewujudkan pasukan professional dalam mengendalikan bencana dan mengurus kecemasan yang prihatin, bersiap -siaga dan efektif.
2. Mewujudkan gerak kerja yang cekap, mahir dan berkesan dalam pengurusan sumber manusia, asset, maklumat dan kewangan.
3. Membawa kesejahteraan kepada umat sejagat.

Tiga peranan utama yang menjadi tunjang Khidmat Malaysia iaitu ‘Rescue’, ‘Relief’ dan ‘Rehabilitation’ sentiasa ditekankan dalam menyelaras bantuan kecemasan dan bencana dalam negara. Tiga tunjang ini tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya melalui entiti -entiti dan tenaga para sukarelawan Khidmat Malaysia yang sentiasa bersedia apabila seruan dan arahan dikeluarkan. Melalui ‘rescue’ Jabatan Amal Malaysia merupakan sebuah badan sukarela yang sentiasa bersedia dengan peralatan menyelamat yang lengkap, tenaga mereka merupakan tenaga yang terlatih, sama ada dari segi pengalaman mahupun latihan-latihan. Tenaga Jabatan Amal ini kerap kali diguna pakai terutama dalam siri-siri menyelamat mangsa banjir, membantu bersama tenaga barisan hadapan negara dalam bencana-bencana yang luar biasa, seperti tanah runtuh, ops pencemaran udara dan aktiviti sinonim adalah operasi ‘clean and clear’ pembersihan rumah mangsa banjir. Briged Muslimat Malaysia juga salah satu entiti tulang belakang yang bersama Khidmat Malaysia dalam menjalankan peranan dalam bantuan. Kerjasama pelbagai Badan Bukan Kerajaan, NGO-NGO seperti Pertubuhan Kami Prihatin, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Medicom Malaysia, Syabab Care dan PAPISMA turut bersama dalam gerak kerja ‘relief’ dan ‘rehabilitation’ terutama selepas mangsa pulang ke penempatan masing-masing. NGO-NGO ini akan bersama Khidmat Malaysia dalam memberikan bantuan keperluan pasca banjir, bantuan wang tunai dan khidmat kesihatan dan nasihat motivasi yang disediakan tenaga pakar oleh kumpulan ini.

Bagi memastikan Khidmat Malaysia mampu menjadi sebuah organisasi terkehadapan dan profesional, siri latihan demi latihan terus ditingkatkan, bahkan setiap dua tahun sekali Khidmat Malaysia menjalankan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia atau nama singkatannya HEBAT. HEBAT ini telah diadakan sebanyak empat kali dan matlamat pengisiannya adalah untuk melahirkan petugas dan sukarelawan yang mempunyai ilmu dalam pengurusan kecemasan dan bencana yang dikursus dan diberi taklimat oleh agensi Kerajaan seperti Bomba Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Di-Raja Malaysia dan pelbagai agensi yang turut terlibat.

Akhir sekali, jutaan penghargaan saya ucapkan kepada mantan-mantan Pengerusi dan Ketua Pengarah serta seluruh Ahli Lembaga Pengarah sesi sebelum ini dalam menaikkan nama Khidmat Malaysia dipersada Malaysia serta mengukuhkan organisasi serta tatacara dengan lebih sistematik.

Harapan saya agar Khidmat Malaysia di setiap peringkat terus menjadi pilihan rakyat Malaysia dan terus memperkukuh profesionalisma dalam gerak kerja mengurus serta menyelaras bantuan kecemasan dan bencana yang berlaku di Malaysia.

Salam Satu Dekad Khidmat Malaysia

“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana ALLAH”

YB DATUK DR. AHMAD MARZUK BIN SHAARY
Pengerusi Khidmat Malaysia

Ulasan