Status pelaburan domestik dilaksanakan kerajaan



KUALA LUMPUR: “Setakat manakah pelaburan langsung domestik di Malaysia telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan?”

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian tampil bertanyakan persoalan tersebut di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Liew Chin Tong dalam jawapannya berkata, kerajaan sentiasa cakna dalam usaha mengukuhkan dan memudahcara syarikat-syarikat tempatan dalam merealisasikan cadangan penubuhan kilang dan meningkatkan produktiviti mereka.

“Melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak kerajaan komited menjana pelaburan bagi merangsang pembangunan lestari dan seimbang dalam negara,” katanya.

Tambah beliau, secara lazimnya, pelaksanaan projek di negara ini mengambil masa satu hingga dua tahun untuk direalisasikan bergantung kepada skala projek dan keadaan ekonomi semasa.

“Projek yang telah direalisasikan menunjukkan projek yang sama ada sedang dalam pembinaan bagunan dan kilang, sedang memasang mesin dan peralatan mahupun telah memulakan operasi.

“Kita lihat, dalam tempoh 2018 sehingga Jun 2023, sebanyak 6,581 projek pemilikan tempatan telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM180.5 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan MIDA.

“Daripada jumlah yang diluluskan itu, projek yang telah direalisasikan adalah sebanyak 71.79 peratus melibatkan 4,089 projek dengan nilai RM129.9 bilion dan seterusnya mewujudkan sebanyak 124, 921 pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam masa yang sama kerajaan sentiasa mengukuhkan usaha untuk memudahcara syarikat-syarikat tempatan dalam merealisasikan cadangan penubuhan kilang dan meningkatkan produktiviti mereka. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

Ulasan