Suspek kes bunuh Zayn Rayyan mungkin ada rekod jenayah - Polis

Suspek kes bunuh Zayn Rayyan mungkin ada rekod jenayah - Polis
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Disember 8, 2023 @ 10:57pm


PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan suspek dalam kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah individu yang mempunyai rekod jenayah.

Justeru, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk semakan terhadap rekod penjenayah sedia ada.

"Ia meliputi saringan melibatkan data cap jari orang yang mempunyai rekod jenayah termasuk kumpulan yang terbabit dalam kesalahan seksual.

"Selain itu, (saringan juga dilakukan ke atas) mereka yang dalam perhatian pihak polis membabitkan penduduk tempatan atau di luar kawasan.... semua kita akan beri perhatian," katanya ketika sidang media di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, sebentar tadi.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Terdahulu, Hussein memaklumkan siasatan polis dalam kes bunuh Zayn Rayyan menjurus kepada dua fasa.

Beliau berkata, untuk fasa pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.


Bagi fasa kedua pula, katanya siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih kurang 2,400 rumah.

Semalam, Hussein memaklumkan kematian Zayn Rayyan yang berusia enam tahun diklasifikasikan semula daripada mati mengejut (SDR) kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Ulasan