Umno mulai terperangkap impian DAP

Umno mulai terperangkap impian DAP
December 17, 2023


KUALA LUMPUR: Perjuangan Umno bagi membela nasib orang Melayu terganggu setelah pemimpin parti itu sekarang bekerjasama dengan DAP.

Mantan Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil berkata, Umno mulai terperangkap dengan impian DAP yang inginkan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan orang bukan Melayu.

Katanya kegusaran dalam kalangan ramai orang Melayu terhadap agenda DAP sekarang turut menimpa Umno apabila bersekongkol dalam kerajaan Madani.

“Saya sebenarnya sejak dari awal lagi tidak bersetuju gabungan Umno dengan DAP.

“Oleh sebab itu saya dipecat oleh Presiden Umno,” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Kepimpinan Negara Dalam Menghadapi Kemelut Politik Melayu Kini Dan Masa Depan anjuran Institut Kepimpinan ZAABA di sini semalam.

Baru-baru ini ketika berucap pada perjumpaan bersama pelajar di England, veteran DAP Lim Kit Siang dilapor mengimpikan Perdana Menteri bukan Melayu di Malaysia suatu masa nanti.

Isham berkata, sekiranya Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bangsa bukan Melayu ia sudah pasti akan mengancam bangsa Melayu dan lambat laun mereka akan hilang kuasa politik.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak boleh diterima oleh orang Melayu sehingga ramai bangkit menentang.

Kata beliau impian DAP tersebut berkaitan dengan perlembangaan dan bukan sekadar isu 3R semata-mata.

Isham turut menyifatkan apa yang berlaku terhadap Umno sekarang pernah menimpa PAS suatu ketika dahulu kerana menjalin kerjasama dengan DAP.

Kata beliau, selepas PAS tidak lagi bersama dengan DAP parti itu berjaya bangkit semula menjadi sebuah kuasa politik yang disegani semua pihak sekarang.

Menurutnya DAP menjalin kerjasama dengan Umno dan PAS kerana semata-mata mahu menarik sokongan orang Melayu bagi mencapai matlamat politik mereka.

“Tujuan utama DAP nak berbaik dengan Umno hanyalah untuk memecah perpaduan orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu perlu mempunyai kekuatan ekonomi bagi membolehkan mereka disegani kaum-kaum lain. – HARAKAHDAILY 17/12/2023

Ulasan