Waspada sejarah palsu pesong fakta konflik Palestin-Israel


Waspada sejarah palsu pesong fakta konflik Palestin-Israel - Foto Hiasan. - Foto AFP
Oleh Prof Madya Dr Nazirah Lee - Disember 13, 2023 @ 10:01am

Pembersihan etnik dan pengusiran penduduk dari tanah air secara umumnya dianggap sebagai kezaliman. Pengeboman hospital dan pembunuhan kanak-kanak dilabel sebagai jenayah perang.

Namun, dalam krisis kemanusiaan di Palestin, perbuatan kejam rejim Zionis Israel mencetuskan pendapat berbeza dalam kalangan masyarakat dunia.

Walaupun terdapat sebahagian masyarakat mengecam tindakan ganas Israel di Palestin itu, namun terdapat juga kumpulan berpandangan tindakan Israel di Gaza mempunyai rasionalnya tersendiri.

Persoalan yang timbul adalah mengapa tindakan zalim Israel di Palestin dinilai secara berbeza? Apakah yang mendorong kepada munculnya pelbagai pandangan begitu kontras di seluruh dunia.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Jawapan kepada semua persoalan berkenaan boleh disandarkan kepada perbezaan maklumat digunakan sebagai sandaran ketika membuat penilaian. Hari ini maklumat berada di hujung jari, akhbar di atas talian menyampaikan berita dengan pantas.

Malangnya naratif di Palestin dibawa media di Barat dikuasai Yahudi lebih bersifat propaganda dan diselarikan dengan kepentingan mereka. Kekeliruan dalam kalangan masyarakat antarabangsa berhubung sejarah di Palestin disebabkan mereka terdedah dengan naratif dan sejarah memihak kepada Yahudi.

Hurai dalam dua naratif sejarah berbeza

Penyelewengan fakta dan sejarah palsu bukan sesuatu yang asing dalam naratif berhubung sejarah wilayah berkenaan. Sejarah Palestin dan penaklukan Yahudi ke atasnya dihuraikan dalam dua naratif sejarah sangat berbeza.

Selepas lebih 40 tahun, salah faham dan kekeliruan daripada penyelewengan fakta sejarah dan sejarah palsu sukar dibanteras.

Naratif pro-Zionis masih berleluasa di seluruh dunia walaupun ia dibuktikan bertentangan dengan perkembangan sejarah di Palestin.

Sikap dingin sebahagian masyarakat dunia kepada krisis kemanusiaan di Palestin membuktikannya. Maklumat palsu disebarkan pihak memihak Yahudi mengaburkan kebenaran dan menjauhkan masyarakat daripada nilai kemanusiaan.

Selain penyelewengan fakta sejarah, maklumat salah menerusi penulisan sejarah palsu juga membawa pelbagai kesan negatif. Penyebarannya sukar dikawal kerana meluasnya akses kepada media sosial hari ini.

Ringkasnya, penyebaran fakta sejarah yang diselewengkan dan sejarah palsu berpotensi menimbulkan jurang perbezaan persepsi serta pendapat daripada kelompok berbeza dalam perang Palestin-Israel.

Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 (RTPN) menyatakan kelemahan fahaman sejarah adalah salah satu daripada punca kepada insiden dan ketegangan antara kaum berlaku di Malaysia. Jelas, penularan maklumat palsu dan sejarah palsu perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dianggap sebagai masalah picisan.

Tindak balas masyarakat dunia kepada krisis di Palestin memperlihatkan bahawa penyelewengan maklumat sejarah dan sejarah palsu menutup mata masyarakat daripada kebenaran.

Justeru, masyarakat perlu peka dan bijak menapis maklumat dihidangkan kepada mereka. Rujukan silang perlu dilakukan. Budaya membaca perlu dimantapkan dan pemikiran kritis perlu dipertingkatkan bagi mengelak diri terkeliru dengan sejarah palsu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Ulasan