ISMA serah memorandum kepada Sultan Selangor

ISMA serah memorandum kepada Sultan Selangor
January 24, 2024

Beberapa orang ahli ISMA berkumpul di hadapan pintu pagar Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada petang hari ini, 24 Jan 2024 bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Sultan Selangor. (FOTO: HARAKAHDAILY)

SHAH ALAM: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah berjaya menyerahkan memorandum berkenaan keadaan rakyat negara ini kepada Sultan Selangor menerusi wakil Baginda.

Yang Di-Pertua ISMA Kawasan Shah Alam, Fakrul Radzi Mohd Omar berkata, perhimpunan kecil di hadapan pintu masuk Istana Bukit Kayangan pada hari ini (24 Jan) adalah kesinambungan daripada perhimpunan Program Gerakan Rakyat Menyerahkan Memorandum Rakyat Ke Hadapan Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

“Tindakan ini adalah untuk menunjukkan kepada Sultan Selangor terkini, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bahawa kehidupan rakyat benar-benar terseksa semenjak diperintah oleh kerajaan pada masa ini.

“Memorandum yang akan dihantar pada hari ini adalah sebagai susulan daripada semalam (penyerahan memorandum rakyat ke hadapan Yang Di-Pertuan Agong) yang mana kita mahu Sultan Selangor dan juga Institusi Raja-Raja Melayu melihat keadaan rakyat yang sedia ada pada masa ini,” katanya.

Ini kerana menurut beliau, kehidupan kebanyakan rakyat pada masa ini telah benar-benar menghadapi penindasan ekonomi sebagai masalah nombor satu yang merebak kepada pelbagai lagi masalah sosial.Fakrul Radzi (kanan) dalam perhimpunan kecil ahli ISMA di pintu pagar Istana Bukit Kayangan. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

Tambah beliau, status agama Islam itu sendiri telah mula diancam semenjak pentadbiran kerajaan pada masa ini yang mana perkara sebegini benar-benar sesuatu yang mengecewakan.

“Sepertimana kita boleh melihat kebanyakan rakyat sedang diperhambakan oleh pelbagai hutang lagi yang menyebabkan mereka semakin lagi tertekan,

“Selepas itu ditambahkan lagi kedudukan agama Islam itu sendiri telah mula diganggu semenjak pentadbiran kerajaan pada masa ini yang mana penyerahan memorandum ini tidak menyebelahi apa pun ideologi politik,” jelasnya.Memorandum yang diserahkan kepada Sultan Selangor pada hari ini adalah kesinambungan daripada perhimpunan Program Gerakan Rakyat Menyerahkan Memorandum Rakyat Ke Hadapan Yang Di-Pertuan Agong fdi Istana Negara, semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media diadakan di luar kawasan berhampiran dengan pintu masuk Istana Bukit Kayangan, di sini pada hari ini.

Seramai lebih 50 orang telah hadir dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap penyerahan memorandum tersebut.

Beliau juga menyatakan, memorandum tersebut dihantar dengan harapan agar Sultan Selangor dan Institusi Raja-Raja Melayu dapat melihat semula ketirisan yang berlaku terhadap pentadbiran kerajaan masa kini.

Kata beliau, perkara sebegini adalah untuk menunjukkan kepada Institusi Raja-Raja Melayu sendiri bahawa rakyat benar-benar menghadapi kesempitan kehidupan dan benar-benar memerlukan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu sendiri dalam menyelesaikan masalah tersebut.ISMA terpanggil untuk menyerahkan memorandum ke hadapan Sultan Selangor demi rakyat yang kini menderita kesan keadaan dan situasi semasa ekonomi negara.

“Oleh sebab itu saya menyatakan perkara sebegini langsung tidak melibatkan apa pun tujuan politik kerana kami semua hanya datang hanya untuk mewakili suara ramai rakyat semata-mata,” katanya lagi.

Apabila ditanya apa yang diharapkan selepas penyerahan memorandum tersebut, beliau hanya menginginkan Raja-Raja Melayu untuk membela nasib rakyat negara ini.

“Mudah-mudahan Raja-Raja Melayu dapat melihat semula ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini dan mengambil pendekatan yang bijaksana dalam menghadapi masalah sebegini.

“Lagipun, kami semua tetap percaya kepada kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dan mengambil tindakan yang adil dan saksama,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

Ulasan