Isu Kg Desa Mukmin Warisan: “Kami tak mahu pindah!”

Isu Kg Desa Mukmin Warisan: “Kami tak mahu pindah!”
January 17, 2024

Pihak berkuasa hadir di kawasan kediaman penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan di Gombak, Selangor pada pagi hari ini, 17 Jan 2024. (FOTO: Ihsan Ahmad Fadzli Arif)

GOMBAK: “Sebagai penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan kami sendiri pun tidak mahu berpindah walau apa pun yang terjadi!”

Itu luahan seorang penduduk kampung tersebut, Ahmad Fadzli Arif apabila melihat rumah-rumah penduduk kampungnya telah dirobohkan oleh dua buah jengkaut pada hari ini, Rabu (17 Jan).

“Seharusnya perbincangan khusus perlu diadakan (setidak-tidaknya) dengan Ketua kampung ini, Kampung Desa Mukmin Warisan yang rasmi, Najib Mohktar atau Tok Najib) dan bukannya (Ketua Kampung) yang tidak berdaftar,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketua kampung yang tidak berdaftar tersebut pula yang diberikan maklumat mengenai perkara ini yang jelas amat tidak wajar dilakukan.

“Itu yang saya agak kecewa kerana tiada hitam putih yang diberikan dalam urusan mengenai ECRL ini dan ditambahkan lagi dengan ketua kampung palsu yang membuat manipulasi mengenai perkara ini,” ujarnya yang mohon gambar wajahnya tidak disiarkan.

Fadzli menyatakan bahawa isu ECRL sebelum ini hanya dibincang melalui lisan sahaja dengan penduduk kampung tersebut.

“Perkara ini sudah tentu menyebabkan mesej maklumat mengenai isu tersebut tidak dapat difahami oleh penduduk kampung ini.

Tambahnya, kerajaan telah memonopoli isu ECRL sehingga menyebabkan kehidupan penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan telah diketepikan oleh pihak kerajaan itu sendiri.

“Apa yang saya ingin sampaikan adalah kerajaan kena adil dan saksama kerana memang benar pembangunan negara itu penting tetapi jangan sampai korbankan rakyat tak bersalah,

“Lagipun sebaik-baiknya boleh kerajaan mengadakan perbincangan khusus mengenai perkara ini kerana kami juga memerlukan keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

Ulasan