Khidmat bekalan air perlu lebih baik selari tarif baharu

Khidmat bekalan air perlu lebih baik selari tarif baharu
January 24, 2024

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menikmati erti sebenarnya kemudahan asas yang lebih baik termasuk dari segi bekalan air untuk kegunaan harian. (FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR: Walaupun pelarasan tarif baru air diumumkan bermula 1 Feb ini, namun masalah bekalan air yang masih berterusan berlaku di negara ini, sekali gus menuntut penambahbaikan tadbir urus perkhidmatan perbekalan air dipertingkatkan.

Penganalisis sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata, peruntukan sentiasa diunjurkan dalam hal ehwal pengurusan bekalan air di bawah belanjawan negara saban tahun, tetapi masalah air di negara ini dilihat seakan tiada titik noktahnya.

“Persoalan mengenai masalah ini sentiasa bermain di minda rakyat selaku pengguna. Mereka sangat berharap isu kepenggunaan air dapat diselesaikan secara tuntas dan bijak,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, kenaikan kadar tarif air bermula pada 1 Feb ini diharapkan sebagai ikhtiar berganda yang dapat memberi limpahan positif untuk jangka panjang kepada rakyat di negara ini.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menikmati erti sebenarnya kemudahan asas yang lebih baik kerana kerajaan yang baik datangnya dari usaha murni memberi perkhidmatan kemudahan asas kepada rakyat dahulu,” tegasnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dalam satu kenyataan pada 17 Januari lalu menyatakan pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan bermula Februari ini.

SPAN telah memaklumkan pelarasan tarif itu tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.
Ahmad Fauzi Mustafa

Pelarasan itu menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif di mana struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Pelaksanaan pelarasan tarif air itu adalah berdasarkan keperluan negeri-negeri di mana Kerajaan Persekutuan melalui suruhanjaya berkenaan akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif tersebut.

Justeru, Ahmad Fauzi turut berpandangan bahawa rakyat pada masa kini telah pun bersedia di atas kenaikan tarif air itu asalkan bekalan air bersih disediakan dengan lebih baik kepada rakyat di seluruh negara.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) antara yang menyatakan komitmen untuk menggunakan hasil yang diperoleh melalui pelarasan tarif air baharu itunanti bagi menyelesaikan masalah paip bocor, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air kepada pengguna. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

Ulasan