Kualiti dan kuantiti dimiliki PAS perlu terus diperkuatkan
January 13, 2024


SERDANG: Kekuatan perlu dikumpulkan sebagai memenuhi tuntutan Allah SWT supaya mengadakan persiapan di mana ia mesti melibatkan keseimbangan antara kuantiti dan kualiti.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS adalah jemaah yang unik di mana di dalam gerak kerja harakah Islamiyah dilaksanakan tidak mengabaikan keperluan kuantiti dan kualiti.

Kualiti PAS jelas beliau, menjadikan kekuatan parti ini sentiasa malar hijau dan subur kerana adanya dukungan kuat daripada tiga elemen iaitulah golongan ulama, profesional dan juga amilin.

Pun demikian peringatnya, dalam konteks parti politik yang menyertai pilihan raya, PAS memerlukan kekuatan kuantiti untuk mencapai kemenangan sebagaimana peningkatan ditunjukkan dalam PRU dan PRN sejak sekian lama.

Beliau membutirkan perincian bilangan kerusi dimenangi PAS dalam beberapa PRU, selain kejayaan memenangi hingga kini memerintah pentadbiran kerajaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Namun peringatnya juga, kuantiti tersebut merupakan satu cabaran dan hambatan, iaitulah untuk memastikan tanggungjawab mengisi dan mempertahankan kemenangan itu ditunaikan sebaiknya.

“Sebab itu hubungan antara wakil rakyat dengan jentera parti, dengan PAS Kawasan, dengan Ulamak, Pemuda dan Muslimat Kawasan, dengan Jabatan Amal, dengan Briged (Muslimat), jangan terpisah,”

Penegasan tersebut dikemukakan beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Tawazun: Antara Kuantiti dan Kualiti’ pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di City Meridian Convention Center, South City Plaza, di sini sebentar tadi.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut mengungkapkan optimistiknya bahawa PAS akan menambah lagi pencapaian kemenangan kerusi-kerusi Parlimen dan pemerintah negeri.

Beliau mengungkapkan dalam nada seloroh bahawa kemenangan itu mungkin tidak perlu menunggu beberapa kali PRU, tetapi antara empat atau tiga kali Hari Raya, menyebabkan hadirin melaungkan takbir.

“Hari ni kita ramai-ramai di sini (hadir program pengisian dalaman) orang dah ingat kita nak gi Putrajaya untuk angkat sumpah,” ujarnya menggamatkan dewan dengan gelak ketawa.

Beliau menghurai kualiti dibina PAS selama ini menerusi gerak kerja tarbiyah, dakwah dan siyasah hingga ada kemampuan fikah dan melakukan tajdid, menguruskan tanzim organisasi serta menyusun pilihan raya.

Perincian tersebut disebut Ustaz Idris dengan program atau majlis dalaman yang dijalankan melibatkan hubungan dengan Allah SWT dan menuruti sunnah Rasulullah SAW sebagai jihad suci.

Tambah beliau, kepatuhan kepada pimpinan juga serta kesungguhan berperanan di lapangan masyarakat menerusi usaha kebajikan ditunjukkan dengan kemampuan memegang jawatan yang banyak dan melaksanakan amanah itu.

Obor perjuangan katanya, dibawa orang-orang seperti ini dengan fikah yang jelas dari intima’ kepada jemaah dengan pergerakan tersusun serta gerak kerja Dakwah bersepadu hingga orang awam memahami perjuangan dibawa PAS.

Ustaz Idris turut berpesan mengenai usaha kualiti dan kuantiti menerusi program pewarisan iaitulah untuk memastikan jemaah dan parti ini berterusan menerima dukungan daripada generasi baharu.

“Bila kita sebut nak memerintah, maka kita memerlukan ramai ‘orang kita’. Jangan bila kita perlukan, kita tiada ‘human resources’ dan kita perlukan tenaga yang ‘improvement’ untuk memenuhi pelbagai tujuan kerja,” ujarnya.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS mesti komited mengikuti tarbiyah secara tersusun di semua peringkat dan meninggikan kekuatan ruhiyah serta menambah ilmu hingga memahami antara perkara prinsip dengan pendekatan atau strategi.

Beliau juga menyeru ahli-ahli dan pimpinan PAS mempunyai kemampuan dalam memberi penerangan kepada masyarakat awam termasuk di peringkat global mengenai perjuangan Islam, serta menangkis dakyah seperti Islamofobia.

Turut dipesannya adalah mengenai ukhuwah menerusi hubungan di semua peringkat dan memiliki akhlak yang diikuti dari Rasulullah SAW dan para Sahabat R.A. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

Ulasan