‘Langkah Selatan Thai’ PASRelief laksana agenda kemanusiaan

‘Langkah Selatan Thai’ PASRelief laksana agenda kemanusiaan
January 18, 2024


NARATHIWAT, Thailand: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menggerakkan usaha di arena antarabangsa adalah sebagai memenuhi pelbagai ‘langkah’ yang dilaksanakan oleh PAS.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, PAS mempunyai banyak ‘langkah’ untuk dilaksanakan tetapi bukan hanya dalam bidang politik, sebaliknya setiap tanggungjawab ke atas umat.

Secara khusus dalam ‘langkah’ kebajikan beritahu beliau, PAS tidak hanya berperanan menyantuni ummah dengan bantuan kepada golongan memerlukan, termasuk menangani bencana atau di zon konflik.

PASRelief jelasnya, diperanankan dalam ‘langkah’ di peringkat antarabangsa terutama bantuan kemanusiaan bagi membantu umat Islam di seluruh dunia yang ditimpa kemiskinan, bencana atau konflik.

Beliau memberitahu negara-negara yang PASRelief pernah sampai bagi menghulurkan tangan meringankan pelbagai kesusahan umat Islam khususnya serta meluaskan jalinan hubungan persaudaraan.

“Selain kita buat misi kemanusiaan, tujuan kita juga hendak bina hubungan sesama umat Muhammad SAW. PASRelief bukan entiti kerajaan, tetapi kami berikan sumbangan sekadar termampu yang kami terima kepercayaan daripada para penderma rakyat Malaysia,” ujarnya.

ADUN Penaga itu berkata demikian ketika lawatan dan menyampaikan serahan sumbangan dalam Misi Bantuan Banjir Selatan Thailand di Sekolah Darussalam, Tanjongmas di sini sebentar tadi.

Penolong Pengarah Sekolah Darussalam, Ustaz Muhammad Rushdi ketika memperkenalkan sejarah sekolah ini memberitahu bahawa ia diasaskan sebagai pondok oleh Tuan Guru Daud Bota al-Fathoni.

Telah berusia 60 tahun dengan sistem pondok selama 20 tahun di awalnya, sekolah ini setelah itu menawarkan aliran akademik dan agama di mana terdapat juga pengajian khusus tahfiz sains, bahasa dan kitab thurat.

Sekolah berkeluasan 8 ekar ini mempunyai 5,000 pelajar lelaki dan perempuan yang menerima pendidikan secara percuma di mana hampir separuh daripada mereka tinggal di asrama.

Sekolah Darussalam juga mempunyai lebih 400 guru dan terdapat 14 bangunan utama empat tingkat. – HARAKAHDAILY 18/1/2024


Ulasan