PAS kutuk keras perbuatan khianat terhadap MP DAP

PAS kutuk keras perbuatan khianat terhadap MP DAP
January 10, 2024


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa perbuatan mencetuskan kebakaran ke atas kediaman dan kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, jika dilihat daripada sudut mana pun, perbuatan sedemikian bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.
Advertisement


PAS menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, memandang serius dan mengutuk keras perbuatan khianat terhadap yang mengakibatkan kerosakan harta benda milik pemimpin DAP tersebut.

Merujuk kenyataan polis berikutan insiden itu, beliau difahamkan kes kini disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan di mana perbuatan diklasifikasikan sebagai ‘khianat dengan api’, beberapa buah kenderaan milik Ngeh telah terbakar dan rosak.

“PAS menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan dan menjalankan siasatan pantas bagi mengenal pasti dan menangkap pihak-pihak yang terbabit.

“PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.

“Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana,” ujar beliau dalam kenyataan sebentar tadi.

Selain itu, semua pihak seru Takiyuddin, perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa-apa pandangan, pendirian atau cadangan hingga boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar.

Dalam pada itu, PAS juga katanya, berharap Ngeh dan keluarga terus bertenang dan tidak terlalu terkesan dengan insiden tersebut atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

Ulasan