PAS mampu tadbir negara, urus masyarakat majmuk

PAS mampu tadbir negara, urus masyarakat majmuk
January 13, 2024


SERDANG: PAS mampu membawa pemerintahan negara ini dengan menangani masyarakat majmuk dalam realiti Malaysia kerana dasar Islam yang menjadi pegangannya sebagai gerakan Islam dan parti politik.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pendekatan PAS Dalam Masyarakat Majmuk’ dalam Liqa’ Fikri PAS pusat di South City Plaza, di sini tadi.

Jelas beliau, Islam mendapat tamkin hingga mendirikan pemerintahan dan berjaya menangani masyarakat majmuk yang terdiri mempunyai kepelbagaian di mana pada zaman emasnya masuk ke semua benua.

“Ketika tiada teknologi canggih dan alat hubungan seperti hari ini, tetapi dapat memerintah wilayah yang luas. Kebiasaannya sesuatu kerajaan memerintah dari kelompok tertentu, akan menindas kelompok yang lain.

“Atau yang berlainan agama, kaum atau bangsa, tetapi Islam sebaliknya terima kepelbagaian (tersebut),” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang di hadapan kira-kira 3,000 peserta.

Terang beliau, hal tersebut terlebih dahulu ditunjukkan Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat RA serta disambung para khalaf zaman berzaman, malah dalam mazhab berbeza turut menangani kemajmukan masyarakat dan memerintah negara.

Menurut beliau, walaupun terdapat perbezaan mazhab-mazhab, namun sebahagian ulama tetap sependapat kecuali sebahagian kecil yang pandangan mereka menyebabkan musuh menggunakan sebagai kesempatan untuk melagakan sesama Islam.

Tuan Guru turut menyingkap bagaimana pemerintahan berdasarkan agama-agama lain yang kemudiannya terpesong menyimpang dan fahaman-fahaman lain juga mengalami kegagalan dan keruntuhan.

Namun Islam katanya, tetap kekal sehingga ke hari ini walaupun ada mengalami zaman-zaman kelemahan, kerana ianya sesuai dengan fitrah yang memenuhi sifat jasad dan roh manusia, selain ciri hadhari dan madani pada agama ini.

“Walaupun Islam memilih pendekatan damai dan demokrasi di tengah-tengah kegagalan semua ideologi dan agama, Islam tetap tidak diizinkan berkuasa. Kemenangan Islam di beberapa negara dihalang menubuhkan Kerajaan Islam.

“(Mendirikan) kedaulatan, termasuk kemenangan melalui konsep demokrasi pilihan raya yang aman (turut disekat),” ujar beliau mengingatkan cabaran yang menjadi ancaman tersebut.

Bagaimanapun, Tuan Guru mengingatkan mengenai pemeliharaan Allah yang akan menunaikan cahaya agamanya memberikan kemenangan kepada perjuangan Islam dan diterima manusia sesuai sifat kesempurnaan agama ini.

Beliau juga membentangkan ciri majmuk yang antaranya sebagai masyarakat besar yang mempunyai kesatuan ibadah, fitrah dan keimanannya kepada Allah dan Rasul serta membawa rahmat ke seluruh alam dengan keadilannya.

Pembentangan tersebut turut mengupas mengenai kepimpinan Melayu-Islam sebagai bangsa penentu untuk menjadi ketua negara dalam realiti majoriti rakyat serta kemajmukan di Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

Ulasan