Penunggang GrabFood warga emas kecewa dengan kerajaan

Penunggang GrabFood warga emas kecewa dengan kerajaan
January 19, 2024

Roslan Ab Rahman meluahkan perasaannya kerana berada dirinya dan penunggang GrabFood yang lain telah ditindas. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

PETALING JAYA: “Peningkatan bonus yang diberikan syarikat GrabFood hanya sekadar nak mengaburkan kami sahaja untuk kurangkan kadar bayaran asas.”

Seorang penunggang GrabFood warga emas, Roslan Ab Rahman, 64, berkata tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) itu hanya disedari pada hari Selasa (16 Jan) lalu, ketika dia mengambil pesanan di Klang dan Setia Alam.

“Perkara ini benar-benar membimbangkan kerana dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan saya berasa ditindas.

“Itu sebabnya saya datang dari jauh kerana saya tidak puas hati dengan penindasan sebegini terhadap kami penunggang GrabFood,” luahnya ketika ditemui HarakahDaily di Seksyen 51A, di sini, hari ini.

Dia juga menyatakan bukan mudah untuk melakukan perkara sedemikian kerana bayaran kadar upah asas penunggang GrabFood kini sudah tidak setimpal, ditambah dengan pelbagai risiko yang dihadapi.

Jangan hanya turun padang bila PRU, PRN

Menurutnya, tindakan GrabFood itu juga memberikan kesan kepada penunggang GrabFood yang mengambil hutang dengan kemungkinan menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang tersebut.

“Ini yang saya betul-betul kecewa dengan kerajaan pada masa ini kerana langsung tidak ambil kisah dengan keluhan kami semua.

“Janganlah hanya turun padang apabila nak Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau seumpamanya sedangkan kami sendiri pun telah menghadapi kesukaran hari demi hari,” keluhnya lagi.

Dia juga berharap melalui Protes Grab Blackout ini dapat memberi kesedaran kepada syarikat Grab supaya berlaku adil terhadap setiap penunggang GrabFood.

Katanya,perkara sebegini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa Grab kekalkan RM7 sebagai bayaran minima basic lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

“Apa pun saya akan terus menentang ketidakadilan sebegini kerana kami sebagai rider Grab tidak boleh dilayan seperti hamba,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

Ulasan