Sanusi perjelas lagi isu tuduhan rasuah CEO KFA

Sanusi perjelas lagi isu tuduhan rasuah CEO KFA
January 7, 2024


PADANG TERAP: Agensi awam dinasihatkan agar tidak menjadi ‘pak yek’ (orang suruhan) pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi hanya kerana tidak sealiran fahaman politik.

Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuduhan rasuah terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berserta beberapa individu lain bukan sahaja satu fitnah tetapi juga menzalimi orang miskin.

“Saya sendiri tak tahu RM6 juta itu, itu depa (mereka) yang kata, mai (mari) mana? Siapa bagi? Depa tak habaq ke media ka siapa yang bagi RM6 juta tu?” soal beliau ketika diminta memberi komen berkenaan insiden berkenaan.

Kata Sanusi lagi, pihaknya faham dan sedia maklum, akan ada plot-plot yang disusun selain menggunakan agensi awam untuk kepentingan peribadi serta memuaskan nafsu sendiri terhadap seteru politik mereka.

Jelasnya lagi, CEO KFA yang dikaitkan dengan rasuah itu bukannya orang kaya malah tawaran gaji yang dibuat oleh pihaknya hanyalah RM5,000 sebulan tetapi beliau terima dan bersungguh-sungguh membantu KFA.

“CEO itu ‘pulun’ buat kerja sungguh, berusaha untuk bayar hutang KFA serta bayar tunggakan gaji pemain bola sepak. Kalau ada RM6 juta itu, lebih baik bayaq hutang KFA dulu.

“Yang seorang lagi tu dulu kerja dengan Malindo. Bila Malindo tutup, dia cari kerja macam-macam nak sara keluarga. Gamak pi tangkap, gari dan pakaikan baju kuning.

“Gila ka depa ni, tengoklah muka orang sama, dia ada anak, keluarga, tak ada kerja pula. Asal dapat untung politik ‘hangpa’ sapu semua, tak kira muka dan maruah orang. Dengar ni madanon,” bidas beliau menyuarakan kesalan dan ketidakpuasan hati.

Sanusi yang juga Presiden KFA bercakap demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap, Kedah 2035, hari ini.

Mengulas lanjut, sebelum ini katanya terdapat syarikat besar masukkan wang RM6 juta ke akaun KFA dengan tujuan melobi agar kontrak konsensi rawatan air disambung semula.

Tetapi jelasnya, syarikat berkenaan telah meminta semula wang terbabit apabila kerajaan negeri tidak berhasrat menyambung kontrak berkenaan sebaliknya akan beroperasi sendiri.

“Hang dermalah berbillion pun, kita takkan sambung kontrak. Lepas tu mereka minta balik duit itu. Tu ceritanya.

“KFA ini sejak ditubuhkan pada 1924 sememangnya operasinya dibiayai dengan derma, sumbangan kerajaan, swasta, NGO, peminat sukan.

“Siapa nak derma masuk dalam akaun. Yang sebut rasuah, siapa nak rasuah pula. Negeri lain pun sama, persatuan sukan takkan boleh buat untung,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar jangan berbuat jahat kepada orang lain nanti akan berbalik kejahatan itu kepada diri sendri.

“Buat jahat nak aniaya orang, haram ka halal, fikirlah. Jangan nak sapu semua. Semua empat orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) itu orang miskin.

“Saya kenal depa. Baju sekolah anak depa pun saya bagi. kalau hangpa buat kat orang kaya, lantaklah, tapi cari dosa dengan orang miskin, langkah mayat aku dulu,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau tidak gentar sekiranya ada pihak yang cuba aniaya dirinya.

“Kalau nak pekena (aniaya) aku mai, tak pa, boleh. Nanti tengok Allah nak tolong siapa, Kalau saya tak menang di dunia, di akhirat saya menang. Jangan ingat mati dunia akan jadi debu begitu sahaja, akan ada hari pembalasan,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2024

Ulasan