Tangkapan terhadap tiga staf Harakah adalah tidak wajar

Tangkapan terhadap tiga staf Harakah adalah tidak wajar
January 8, 2024

Nadzir (tiga dari kiri) dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, pada hari ini, 8 Jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ahmad Jaafar)

1. Harakah ingin membuat pencerahan bahawa cerita yang tersebar menerusi medial sosial dan akhbar berkenaan penangkapan tiga orang staf Harakah yang kononnya dikatakan menceroboh kediaman Menteri Besar Selangor adalah tidak tepat serta tidak menggambarkan realiti sebenar yang telah berlaku.

2. Sebelum itu, perlu diketahui oleh semua pihak bahawa isu yang berlaku kali ini amat berkait rapat dengan isu Taman Sungai Sireh di Klang yang berdepan dengan usaha pengambilan tanah oleh pihak kerajaan dalam pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Namun begitu, berlaku polemik dalam isu ini ekoran cara dan layanan kerajaan negeri terhadap penduduk Kg Sungai Sireh yang dilaporkan tidak adil terhadap kebajikan penduduk.

3. Mesyuarat bagi membincangkan isu ini bersama rakyat telah dilakukan di kediaman rasmi MB Selangor pada 5 Januari 2024 setelah mendapat tekanan hebat oleh rakyat. Antara individu yang sejak awal menjadi suara rakyat adalah Suffi Kamari yang juga merupakan staf Harakah.

4. Apa yang berlaku pada hari tersebut adalah, Suffi Kamari serta dua orang lagi staf Harakah telah hadir ke mesyuarat tersebut atas jemputan penduduk Kg Sungai Sireh itu sendiri serta atas kapasiti Gerakan Pertubuhan Ummah (UMMAH) yang merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) paling tegas memperjuangkan hak penduduk Kg Sungai Sireh. Mereka sebenarnya tidak menceroboh tanpa izin, sebaliknya telah dibenarkan masuk ke kediaman rasmi MB.

5. Bahkan, mereka sempat menghadiri mesyuarat tersebut bersama Menteri Besar. Namun, isu hanya berlaku setelah pertemuan dengan MB Selangor selesai apabila mereka telah ditahan atas alasan menceroboh kediaman rasmi MB Selangor. Nadzir di samping Suffi (baju putih). (FOTO: HARAKAHDAILY/Ahmad Jaafar)

6. Lebih mengecewakan, wajah mereka telah diviralkan di platform media sosial secara tidak bertanggungjawab dengan cerita dan gambaran tidak tepat sekali sehingga telah menjatuhkan air muka dan maruah mereka. Harakah sebagai syarikat akhbar sendiri telah cuba dipalitkan dengan kisah tidak tepat tersebut disyaki atas niat untuk merosakkan imej syarikat ini.

7. Laporan balas telah dibuat hari ini oleh tiga staf Harakah ini sebagai tindakan undang-undang untuk mempertahankan kebenaran dan cerita yang sebenar. Kami menegaskan bahawa maruah dan kredibiliti mereka dan juga Harakah akan terus dipertahankan berdasarkan jalan undang-undang. Kami juga akan terus memberikan kerjasama kepada pihak mahkamah sepanjang proses ini berjalan.

NADZIR HELMI
Ketua Pegawai Operasi Harakah – HARAKAHDAILY 8/1/2024

Ulasan