‘Tidak akan berhenti perjuangkan hak penunggang GrabFood’

‘Tidak akan berhenti perjuangkan hak penunggang GrabFood’
January 26, 2024

Beberapa penunggang GrabFood hadir di hadapan pejabat SUHAKAM di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada hari ini, 26 Jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

KUALA LUMPUR: “Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penghantar P-Hailing Malaysia takkan sesekali berhenti berusaha untuk bantu penunggang-penunggang GrabFood mendapat keadilan yang sewajarnya.”

Timbalan Presiden Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berkata demikian ketika ditemui mengiringi penunggang-penunggang Grabfood ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), di sini hari ini bagi membuat laporan mengenai kekurangan kadar upah asas yang dilakukan oleh syarikat GrabFood itu sendiri.

Beliau menyatakan, penunggang-penunggang GrabFood benar-benar kecewa akibat daripada syarikat tersebut masih lagi tidak melakukan perubahan terhadap perkara tersebut.

Tambahnya, kehidupan penunggang-penunggang GrabFood semakin terbeban lebih-lebih lagi dengan masalah penurunan nilai mata wang yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup itu dalam negara ini yang semakin membebankan dari semasa ke semasa.

“Oleh sebab itu, mereka semua telah membuat laporan ke SUHAKAM kerana syarikat GrabFood itu sendiri tidak mahu mengubah polisi pembayaran kadar asas yang sewajarnya,” tegasnya ketika ditemui HarakahDaily.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana tindakan tersebut hanya akan merosakkan ekosistem syarikat Grab itu sendiri pada masa akan datang.

“Syarikat Grab seharusnya perlu bersifat adil lebih-lebih setelah lama terlibat dalam industri e-hailing.

“Itu sebabnya saya terkejut apabila syarikat Grab boleh menyuntik modal tambahan dalam bank digitalnya, GXSBank sebanyak AS$109 juta tetapi tidak boleh memberikan kadar upah asas yang adil kepada penunggang-penunggang GrabFood itu sendiri.

“Ini menimbulkan satu persoalan sama ada kadar upah asas penunggang-penunggang GrabFood pula dijadikan cagaran untuk membina bank digital mereka dan sekiranya benar maka ini jelas merupakan tindakan yang amat tidak wajar,” ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa syarikat-syarikat e-hailing yang lain juga tidak terlepas daripada isu-isu sebegitu tetapi menyatakan syarikat Grab sememangnya jauh lebih menyerlah.

Ini kerana menurut beliau lagi, syarikat GrabFood amat dikenali di seluruh dunia dan seharusnya perlu berkhemah dalam menjalankan pengurusan industri e-hailing itu sendiri.

“Jadi, saya harap pihak SUHAKAM melihat perkara ini dengan lebih teliti dan boleh memanggil syarikat GrabFood supaya sama-sama dapat berbincang dengan penunggang-penunggang GrabFood itu sendiri.

“Lagipun, saya memahami keadaan penunggang-penunggang GrabFood yang tengah bergelut dengan pelbagai kos sara hidup pada masa ini dan berharap satu penyelesaian yang baik dapat diselesaikan melalui pihak SUHAKAM itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2024

Ulasan